Saya Sedia Untuk Berkhidmat, Jangan Lupa Janji Palsu PH 22 Bulan – Noor Farah

MUAR, 28 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) N15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Noor Farah Samsudin bertekad untuk berkhidmat sebaik mungkin bagi kawasan berkenaan sekiranya diberikan mandat pada 12 Mac depan.

Beliau yang akan berdepan saingan enam penjuru di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk penyandang kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH), penuh yakin pengundi sudah bijak untuk membuat penilaian.

“Sebelum ini kita pernah melalui 22 bulan yang amat memeritkan dan saya rasa kali ini pengundi dah bijak untuk membuat penilaian. Saya sebagai anak jati DUN Maharani akan menabur bakti di kawasan ini sekiranya diberikan peluang nanti… insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau mengadakan ‘walkabout’ berjumpa pengundi di Warong Kak Yah Asam Pedas.

Noor Farah seterusnya menambah soal populariti dan sebagainya lagi bukanlah ukuran sebaliknya tempoh masa berkempen yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk merayu undi.

“Populariti bukanlah satu ukuran untuk melaksanakan kerja kepada masyarakat. Selaku calon baharu yang diletakkan oleh BN untuk DUN Maharani, saya akan menggunakan tempoh masa berkempen untuk berjumpa seramai mungkin pengundi dalam usaha meyakinkan mereka untuk saya menawarkan khidmat bakti di kawasan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkeyakinan penuh soal kestabilan yang dicanang oleh BN adalah satu hakikat yang betul dan ianya bertepatan dengan hasrat parti untuk menjaga negeri dan rakyat.

“Kestabilan itu amat penting. Kalau tidak ada kestabilan huru-hara. Kestabilan yang dibawa BN amat baik sekali dan kita haruslah mengundi satu parti yang stabil untuk menjadi pemerintah dan mereka yang dipertanggungjawabkan,” tambahnya.

Kerusi DUN Maharani menyaksikan pertembungan enam penjuru. Selain di Noor Farah, turut bertanding Nor Hayati Bachok (PH); Perikatan Nasional (PN), Abdul Aziz Talib; Parti Bangsa Malaysia, Hanis Asmui; Parti Pejuang Tanah Air, Riad Ahmad dan seorang calon bebas, Lim Kim Joo. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.