Pembangunan Luar Bandar, Pendidikan Jadi Perjuangan BN Di DUN Semarang

BATU PAHAT, 28 Feb – Isu pendidikan dan pembangunan berterusan kawasan luar bandar, merupakan antara isu yang menjadi ‘perjuangan’ calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, di sini.

Dalam kempen calon pilihan raya DUN itu, dua perkara berkenaan sentiasa disebut sekali gus menunjukkan kepentingan kedua-dua isu itu kepada penduduk setempat.

Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang DUN Semarang Datuk Samsolbari Jamali berkata BN sentiasa memberi fokus untuk pembangunan prasarana di luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar kawasan itu.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Johor berkata pihaknya mahu meneruskan tradisi kepimpinannya di DUN berkenaan dengan bertemakan konsep ‘Membangunkan Potensi, Memperkemas Prasarana’ di kawasan luar bandar.

“Kita tidak janji untuk bina bangunan tinggi-tinggi dan pasar raya besar, tapi kita terus fokus kepada memastikan infrastruktur dan kemudahan yang ada di kampung tidak jauh beza ketinggalan berbanding di bandar.

“Kalau dulu masalah kemudahan elektrik dan air sudah selesai, sekarang kita fokus untuk kemudahan internet dan keperluan lain pula,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Amil, Yong Peng di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai strateginya untuk ‘menambat’ hati mengundi muda di DUN itu Samsolbari berkata sebagai anak jati di DUN berkenaan, beliau begitu faham dengan denyut nadi pemuda kawasan itu.

Katanya beliau bakal mengangkat suara anak muda dengan berkonsepkan muafakat kasih sayang dan sentiasa menjaga hubungan mesra dengan penduduk muda DUN Semarang.

Bagi calon Perikatan Nasional (PN) Shazani A Hamid pula, antara agenda utama beliau adalah untuk membangunkan institusi pendidikan di Ayer Hitam dan menjadikan kawasan itu sebagai tempat persinggahan utama di Johor.

“Saya percaya sekiranya ada institusi pengajian yang banyak di sini secara langsung ekonomi akan meningkat dan peluang pekerjaan akan ada untuk penduduk tempatan.

“Ayer Hitam berada di tengah-tengah Negeri Johor, kalau orang datang ke negeri ini mesti singgah Ayer Hitam membeli pasu bunga, dan kraftangan di sini, jadi ia sangat berpotensi untuk dijadikan kawasan persinggahan utama di Johor dengan saya akan berusaha membangunkan hab makanan di sini,” katanya.

DUN Semarang menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan dua lagi calon adalah Adzlan Raju mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Haryati Abu Nasir yang mewakili PKR. – BERNAMA