Peluang Cerah, BN Tingkat Usaha Untuk Kembali Berkhidmat Di Semerah

PARIT SULONG, 28 Feb – Peluang Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah dilihat mempunyai ruang yang cukup luas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Hakikat ini disuarakan oleh Ketua Wanita UMNO Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang berpandangan ianya bukanlah satu perkara yang mustahil.

“Peluang di Semerah lebih cerah dan kita telah menilai semula dan buat kajian di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang berkenaan, kita telah meningkatkan usaha kita dan saya telah berjumpa dengan semua jentera wanita dan PDM juga untuk membantu calon kita,” kata Ketua Wanita UMNO Malaysia itu.

DUN Semerah pada Pilihan Raya Umum yang lalu menyaksikan BN kalah tipis dengan majoriti 98 undi kepada calon PKR.

Noraini seterusnya menegaskan hari ini apa yang penting rakyat khususnya pengundi perlu diyakinkan bahawa BN mengutamakan kestabilan untuk negeri dan rakyat.

“Yang penting calon kita kena menang dan siapa yang dikemukakan sebagai calon BN…dan ianya bukan semata-mata individu tetapi calon parti dan Insya Allah kalau kita berikan kepercayaan kepada calon BN, Mohd Farid Mohd Khaled beliau mampu melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.

“Apa pun kita perlukan kestabilan kerana itulah saya pohon yang mengundi termasuklah yang pertama kali mengundi untuk memberikan peluang kepada calon BN berdasarkan khidmat kami yang telah diberikan selama ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.