Calon BN Bukit Naning Santuni Hampir 30 Peratus Pengundi Dalam Tempoh Tiga Hari Berkempen

MUAR, 28 Feb – Baru memasuki hari ketiga berkempen di Dewan Undangan (DUN) Bukit Naning, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Fuad Tukirin sudah pun menyantuni hampir 30 peratus pengundi di kawasan itu.

Mohd Fuad, yang merupakan anak jati Bukit Naning, berkata beliau akan berusaha menemui seramai mungkin pengundi di kawasan itu selain memajukan kampung kelahirannya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“…saya berharap penduduk dan komuniti kawasan Bukit Naning ini berilah saya mandat untuk meneruskan perjuangan sebagai anak jati yang lahir di kawasan ini, saya ingin berbakti kepada DUN ini dengan sehabis baiknya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan Kampung Parit Tengah di sini hari ini.

Mohd Fuad berkata beliau bertekad untuk meneruskan perjuangan lapan manifesto yang telah digariskan dan risalah manifesto itu akan diedarkan ke seluruh kawasan Bukit Naning.

“Antara manifesto, saya ingin memajukan sistem digital dalam kawasan ini, contohnya jalur lebar yang rata-rata kita melihat keluh kesah daripada penduduk di sekitar ini berkaitan dengan lemahnya keadaan internet dalam kawasan ini.

“Selain itu, saya ingin memajukan ekonomi digital yang berada dalam kawasan ini seperti memasarkan barangan pertanian. Seperti yang kita ketahui kawasan Bukit Naning ini, dalam kalangan orang yang bekerja berkaitan pertanian iaitu menanam nanas, ubi dan sebagainya,” katanya.

DUN Bukit Naning akan menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Mohd Fuad akan menentang penyandang Ysahrudin Kusni dari PKR.

Selain itu, beliau juga berhadapan dengan tiga calon lagi iaitu Mahadzir Abu Said (Perikatan Nasional), Datuk Ibrahim Shafe’e (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon Bebas, S. Jeganathan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.