PRN Johor: Calon Baharu, Wanita Mampu Tarik Sokongan Pengundi Terhadap BN – Mahdzir

JOHOR BAHRU, 27 Feb – Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan ramai muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diyakini mampu meningkatkan sokongan pengundi terhadap parti itu, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata ini adalah kerana muka baharu yang diketengahkan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik tinggi, malah memenuhi aspirasi rakyat Johor bagi memastikan kestabilan politik di negeri ini.

“Bukan sahaja calon lelaki ada tahap pendidikan yang tinggi tetapi juga wanita. Malah telah terbukti wanita boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Apa yang lebih penting sekali adalah tawaran daripada BN, naratif pertama adalah untuk kestabilan politik dan kestabilan ini adalah untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC) di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan BN mengetengahkan muka-muka baharu pada pilihan raya negeri kali ini.

BN akan bertanding di kesemua 56 kerusi pada PRN Johor melibatkan calon-calon daripada UMNO dengan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).

Berdasarkan data, BN merupakan parti yang mengetengahkan paling ramai calon wanita dalam PRN Johor kali ini dengan 14 orang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA