Memakmurkan Semula Ekonomi Johor Fokus Utama BN – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU, 27 Feb – Barisan Nasional (BN) akan memfokus kepada usaha memacu semula ekonomi Johor selain meningkatkan kembali pendapatan rakyat sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Mac depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini kerana rakyat mahukan kerajaan yang boleh memakmurkan semula ekonomi negeri ini susulan terkesan akibat pelbagai isu.

“Isu setempat adalah poket. Itu pokoknya, kalau tiada duit macam mana (rakyat) hendak jalankan kehidupan serta sara keluarga, pendidikan dan sebagainya. Maka kita perlu ‘reset’ atau ‘reboot’ seperti komputer yang ‘hanging’, kita tekan ‘power button’ maka perisian itu berjalan semula.

“Saya rasa inilah cita rasa rakyat yang akan ditafsirkan kepada kemenangan BN pada PRN ini,” katanya semasa menjadi tetamu program Suara Johor terbitan Bernama TV hari ini.

Mengenai pencalonan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar bagi BN, Nur Jazlan yakin dengan kriteria yang dimiliki beliau untuk memimpin serta memajukan Johor sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRN itu.

“Paling penting sekali, Hasni adalah seorang pemikir strategik jadi beliau akan memfokus kepada pembangunan jangka panjang secara holistik daripada pelbagai aspek ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.