Lima Penjuru Di Permas… SPR Ingatkan Calon, Parti Bertanding Patuh SOP

PASIR GUDANG, 26 Feb – Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Permas, Datuk Asman Shah Abdul Rahman memaklumkan telah menerima lima kertas pencalonan daripada parti-parti yang bertanding.

Katanya, setelah semakan dibuat SPR berpuas hati dengan keseluruhan proses penamaan dan tiada calon yang ditolak permohonan.

“Tahniah kepada bakal-bakal calon yang akan bertanding di sini saya ingin memaklumkan telah menerima kertas penamaan calon daripada lima orang calon bagi pemilihan ke DUN Permas.

“Saya dan juga semua pegawai telah menyemak kertas penamaan tersebut dan setelah selesai kami berpuas hati memutuskan bahawa tiada calon yang ditolak.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas kerjasama semua dalam memastikan perjalanan hari penamaan calon berjalan lancar,” ujarnya pada sidang media di perkarangan Stadium Tertutup Bandaraya Pasir Gudang.

Lima calon tersebut adalah Tazul Arifin (Perikatan Nasional); Mahaya Ahad (Parti Pejuang); Syed Othman Abdullah (Pakatan Harapan) Mohamed Ridza Busu (Warisan) dan Baharudin Mohamed Taib (Barisan Nasional).

Sementara itu, Asman turut memberi peringatan kepada calon dan parti yang bertanding untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara dan SPR bagi membendung penularan COVID-19.

“Bagi calon-calon yang bertanding diharapkan dapat mematuhi SOP pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRN hingga ke hari pengundian nanti saya pasti semua telah pun maklum dan mengharapkan agar ianya dipatuhi bagi memastikan tiada kluster pilihan raya khususnya dan bagi mengekang pandemik ini yang kian meningkat saban hari.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya bagi memastikan kempen di Permas ini berjalan dengan selamat,” ujar beliau.

Proses penamaan calon sebentar tadi juga berlangsung dalam suasana yang teratur mengikut SOP yang ditetapkan SPR.

SPR sebelum ini memaklumkan perhimpunan atau perarakan tidak dibenarkan diadakan di mana-mana lokasi sepanjang hari penamaan calon bagi PRN Johor.

Prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan COVID-19 PRN Johor yang diumumkan SPR menjelaskan sebarang pihak termasuk penyokong parti politik dilarang berhimpun atau berarak pada hari sebelum, semasa dan selepas hari penamaan calon. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.