Calon Muda BN Berdepan Saingan Lima Penjuru Di DUN Semerah

PARIT SULONG, 26 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berdepan saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Johor di kawasan berkenaan 12 Mac ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN berkenaan, Izhar Abu Sairin ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata tiada calon yang ditolak borang pencalonan masing-masing.

Proses penamaan calon bagi DUN Semerah berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat.

Selain daripada Mohd Fared daripada BN yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.07 pagi, empat lagi lagi calon lain terdiri daripada Mahzir Ibrahim (Pejuang), Kamarulzaman Jidi (Putra), Mohd Khuzzan Abu Bakar (PKR), dan Datuk Aris Shamsuddin (PN).

Selesai pengumuman berkenaan, Mohd Fared kemudiannya berjumpa dengan penyokong BN yang menunggu di luar pusat penamaan.

Terdahulu, Mohd Fared bersama Pengerusi Wanita BN yang juga Ketua Wanita UMNO Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bersama Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan serta penyokong dan pendokong BN lain berkumpul di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Separap.

PDM berkenaan yang berdekatan dengan lokasi pusat penamaan calon menjadi tempat berkumpul sebelum calon BN bergerak ke lokasi MRSM Batu Pahat.

Selain doa dan iringan selawat, Hidup BN dilaungkan sebelum majlis ringkas berkenaan berakhir.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.