Calon BN Janji Sambung Pembangunan Tergendala

PASIR GUDANG, 26 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib berjanji akan menyambung legasi bekas wakil rakyat, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sekiranya beliau mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya ini kerana, pembangunan di kawasan ini tergendala kerana kekalahan BN pada sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang lalu ke atas Pakatan Harapan.

baharudin“Saya sebagai calon menyambung legasi Khaled Nordin yang telah merancang semasa beliau menjadi wakil rakyat di sini tetapi apabila kalah banyak perkara yang terpaksa gendala.

“Apabila saya diberi kepercayaan untuk mengganti beliau saya akan menyambung segala perancangan bagi memaju dan membangunkan kawasan ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online selepas proses penamaan calon yang berlangsung di Stadium Tertutup Bandaraya Pasir Gudang, pagi tadi.

Sementara itu, Baharudin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang turut meluahkan kelegaan setelah selesai dinamakan sebagai calon Permas pada PRN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.

“Secara rasmi menjadi calon saya rasa lega sebab apabila dipertanding perkara yang paling membimbangkan jika ada perkara yang menghalang tetapi apabila telah diumumkan SPR saya tidak ada masalah untuk bertanding pada PRN kali ini saya bersyukur.

“Lima penjuru itu saya lihat lagi ramai lagi meriah kita dapat meraikan demokrasi dan lihat PRN kali ini khususnya di Permas ianya memberi peluang kepada rakyat memilih calon yang sesuai tapi mesti ingat calon yang terbaik adalah BN kerana kita ada rekod terbaik,” katanya.

Beliau malah memaklumkan akan menggunakan pelbagai strategi untuk berkempen termasuk secara bersemuka dan menggunakan sosial media.

Baharudin akan berdepan lima penjuru daripada Tazul Arifin (Perikatan Nasional); Mahaya Ahad (Parti Pejuang); Syed Othman Abdullah (Pakatan Harapan) dan Mohamed Ridza Busu (Warisan).

Terdahulu, SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala pengundian awal 8 Mac.

Pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.