Pencalonan Pimpinan Muda Pengiktirafan Parti – Mohd Fared

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Calon muda yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khaled berpandangan langkah pimpinan parti yang menyenaraikan beberapa calon muda untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu langkah yang baik.

Pada masa yang sama katanya ia juga adalah satu pengiktirafan terhadap golongan berkenaan untuk membawa obor perjuangan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Alhamdulillah ini satu penghormatan untuk golongan muda dan Pemuda UMNO khususnya… selain itu untuk ianya juga adalah satu petunjuk dan juga harapan baharu kepada golongan muda di Johor,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau merupakan antara muka baharu selain pimpinan muda yang mempunyai latar belakang profesional yang ditonjolkan sebagai calon BN pada PRN Johor 12 Mac depan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Parit Sulong seterusnya memberitahu golongan muda perlu diyakini bahawa UMNO dan BN sentiasa dekat dengan orang muda.

“Kita perlu yakinkan mereka bahawa kita perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan dengan kestabilan itu ianya akan dapat memberi impak yang pelbagai termasuklah peluang pekerjaan dan sebagainya,” ujarnya.

Ujar beliau lagi peluang yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Mohd Fared Mohd Khaled merupakan anak kelahiran Kampung Parit Besar Bagan, Semerah dan merupakan seorang peguam sivil dan syarie.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.