Mohon SPR Pertimbang Ceramah Hingga Jam 11 Malam – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak kembali prosedur operasi standard (SOP) kebenaran berceramah sehingga jam 10 malam.

Katanya, SPR dicadang menganjakkan tempoh masa berceramah sehingga jam 11 malam kerana mengambil kira beberapa faktor.

“Tambah satu jam lagi hingga pukul 11 malam kerana tamat orang sembahyang Isyak ini pukul 9 malam lepas itu sampai berkumpul sudah 9.30 tak kan la habis dua penceramah seorang 15 minit.

“Jadi tidak logik dan praktikal kalau kita sebelum ini hingga pukul 12 tengah malam dikurangkan hingga pukul 11 adalah suatu yang praktikal,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut berharap agar SPR melonggarkan lokasi ceramah di tempat terbuka atau dewan.

Ujar beliau ini kerana, kebenaran berceramah di pejabat dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang adalah tidak bersesuaian.

“Mana hendak mencari tempat tertutup muat seratus orang di kampung? Walhal kita tidak dibenarkan mengguna dewan orang ramai jadi saya hendak mohon kalau dikekalkan ceramah di dewan orang ramai atas kebenaran pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung itu satu permohonan saya.

“Keduanya jika tidak dibenarkan guna balai raya, dewan orang ramai ini anggaplah dibenarkan ceramah tempat terbuka kalau tidak hendak ceramah dekat mana?

“Mana ada rumah orang kampung sebesar boleh memuatkan 100 orang untuk ceramah jadi saya harap itu dipertimbangkan oleh SPR,” ujar beliau.

Terdahulu SPR pada minggu lalu memaklumkan penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun ceramah hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang. – UMNO Online