Anak Muda Bangkit Tolak PH, Gagal 22 Bulan Tadbir Negeri – Hairi

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berpandangan anak muda sudah bangkit dan akan menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya ini kerana, mereka sudah melihat kegagalan PH sewaktu mentadbir negeri dan persekutuan selama tempoh 22 bulan.

“Kita semua tahu bahawa undi orang muda adalah besar malah saya turut percaya mereka sedar di mana selama 22 bulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) dijanjikan dengan pelbagai manifesto tapi tidak ditunaikan.

“Sebab itu manifesto yang akan dibentangkan oleh kerajaan negeri insya-Allah tidak lama lagi akan menjanjikan yang terbaik buat rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, Hairi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor melahirkan penghargaan kerana diberi peluang oleh BN untuk menjadi calon malah menjanjikan yang terbaik buat pengundi di Larkin.

Hairi juga memaklumkan bahawa beliau akan melakukan yang terbaik sepanjang tempoh berkempen untuk memastikan BN merampas kembali kerusi DUN ini.

“Saya diberikan ruang dan kepercayaan oleh parti untuk diletakkan di DUN Larkin dengan usaha merampas kembali kerusi ini.

“Insya-Allah dengan kudrat dan kepercayaan yang diberikan ini saya akan buat yang sehabis baik malah menjanjikan sekiranya diberikan mandat saya akan memperjuangkan segala hak rakyat yang tergendala selama PH memerintah.

“Sebab itu saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi BN yang telah mempercayai saya dan empat lagi rakan Pemuda untuk PRN ini,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.

Selain Hairi, BN pada semalam turut mengumumkan empat pemuda bahagian dipertaruhkan menjadi calon pada PRN ini iaitu Mohd Fadzli Mohd Salleh (DUN Bukit Pasir), Mohd Hilmi Abd Latif (DUN Sangai Balang), Mohd Farid Khalid (DUN Semerah) dan Datuk Mohd Najib Samuri (DUN Parit Yaani). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.