Wanita Yakin Kewibawaan Calon Bawa Obor BN Untuk PRN Johor

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Wanita UMNO yakin dan percaya barisan calon yang diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad mampu membawa parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata 70 peratus muka baharu yang ditonjolkan termasuklah calon daripada Wanita BN adalah satu langkah yang sebaiknya selain daripada gabungan muka lama.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua calon yang telah dipilih untuk memegang panji BN pada PRN Johor kali ini.

“Tahniah diucapkan kepada pucuk pimpinan parti UMNO dan BN yang mengemukakan 70 peratus muka baharu. Kami yakin calon-calon yang dipilih akan memenangi pilihan raya pada kali ini untuk BN mengemudi Kerajaan Johor tanpa was-was dan memakmurkan serta membawa negeri ke arah yang lebih maju harmoni,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat sekali lagi mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih dan terima kasih kepada pucuk pimpinan.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pimpinan BN yang telah mengumumkan sembilan calon Wanita dan Puteri bagi pilihan raya kali ini yang terdiri daripada Datuk Sharifah Azizah Al Shabab (Mahkota), Rashidah Ismail (Pasir Raja), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Hjh Norliza Noh (Johor Lama), Fauziah Misri (Penawar), Hjh. Hasrunizah Hassan (Pulau Sebatang), Nur Fara Samsudin (Mahahani), Hjh. Haslinda Salleh (Tenang), dan Saraswathi (Kemelah).

“Dengan kesemua nama-nama calon Wanita BN ini dan yang lain, ianya memperlihatkan bahawa kita bersungguh-sungguh menjanjikan satu transformasi dalam menwujudkan kerajaan Johor yang lebih kukuh, efisen dan stabil dengan menawarkan calon-calon yang segar dan berkredibiliti tanpa memikirkan soal kepentingan diri sendiri serta berkemampuan menjaga segala kebajikan rakyat negeri Johor tercinta.

“Wanita UMNO melihat bahawa kombinasi dan kualiti calon-calon pada kali ini mampu menyakini dan memenangi hati rakyat menerusi pelbagai latar belakang pendidikan sesuai dengan keperluan rakyat dan berpengalaman dalam mentadbir Negeri Johor ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.

“Kita telah dengar panji dipalu dengan nama-nama calon telah ditetapkan, makanya ayuh! jentera BN siap siaga tanpa menoleh ke belakang untuk turun bagi menyakini dan memenangi hati rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.