Buka Ruang Wanita Sebagai Calon BN, Cerminan Agenda 30 Peratus Dijayakan – Norshida

JOHOR BAHRU, 23 Feb – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata pergerakan itu terus berharap agar Wanita Johor terus diberikan peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau hasrat berkenaan terus diperjuangkan agar cerminan sokongan pimpinan Barisan Nasional (BN) terhadap agenda 30 peratus Wanita dalam BN Johor dapat dijayakan.

“BN dijangka akan mengumumkan pada esok bagi senarai penuh calon PRN johor oleh Pengerusi BN Johor bagi kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Dimaklumkan bahawa penentuan calon BN masih diperingkat akhir dan dijangka BN akan menampilkan 30 peratus muka baharu bagi PRN Johor kali ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambah Norshida walau bagaimanapun difahamkan, hanya beberapa kawasan sahaja diperuntukkan daripada 56 kerusi yang akan dipertandingan pada kali ini.

“Ini menunjukkan bahawa ianya tidak menunjukan cerminan sokongan pimpinan BN terhadap agenda 30 peratus Wanita dalam BN Johor.

“Wanita tetap mendesak soal ini dan perlu diperhalusi dengan sebaiknya kerana Wanita BN Johor mempunyai sebahagian besar calon yang berwibawa dan mampu memenangi dan memperkukuhkan peluang BN Johor mendapat majoriti 2/3 kerusi DUN Johor yang dipertandingkan.

“Berilah peluang Wanita Johor untuk membuktikan kemampuan dan ditonjolkan sebagai wakil rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.