Kerja Keras Untuk Kekalkan Kemenangan, Tawan Kerusi Kalah – Ahmad Maslan

SEMBRONG, 22 Feb – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berharap jentera parti dapat berusaha dengan lebih kuat agar dapat mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang.

Begitu juga katanya, dengan kerja keras semua pihak itu pasti parti mampu merampas kerusi DUN Paloh.

“Semoga dapat dikekal kemenangan di DUN Kahang dan dapat ditawan DUN Paloh. Negeri angkat adalah Kelantan. Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sudah dan sedang mengatur persiapan dengan baik dan rapi,” ujarnya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengadakan pertemuan bersama jentera UMNO Bahagian Sembrong pada Isnin pagi.

Manakala pada sebelah petang pula, beliau bersama jentera UMNO Bahagian Johor Bahru.

Katanya, sebagai seorang tokoh lama di dalam UMNO, Tan Sri Shahrir Samad yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru mampu memimpin parti bagi menawan kedua-dua kerusi di dalam kawasan tersebut.

“Terima kasih Tan Sri Shahrir, Ketua Bahagian dan tokoh lama, banyak pengalaman politik.

“Dengan panduan beliau, diyakini insya-Allah dapat ditawan DUN Larkin dan diusahakan juga ditawan DUN Stulang. Negeri angkat adalah Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, tarikh penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac. – UMNOONLINE