Keputusan Guna Sekolah Menengah Untuk Mengundi Selepas Pertemuan KPM, SPR

KLUANG, 22 Feb – Keputusan rasmi mengenai penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan akan dibuat selepas pertemuan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alimin berkata pertemuan antara Menteri Pendidikan dan pihak SPR itu dibuat di Putrajaya.

Beliau berkata sekiranya keputusan yang dibuat SPR untuk menggunakan premis berkenaan tetap dilakukan, pihak KPM akur kerana ia termaktub dalam tuntutan Akta Pilihan Raya 1958.

“Kita memahami ketika PRN Johor nanti ada sebahagian bangunan sekolah termasuk bilik darjah akan digunakan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun kita akan pastikan keadaan selamat.

“Kita di KPM juga akan meminta semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya berkenaan termasuk SPR untuk membantu memastikan tiada sebarang risiko terutama kepada calon SPM,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja beliau ke daerah ini hari ini.

Mohamad berkata KPM juga meminta pihak terlibat dalam proses pengundian semasa PRN Johor untuk membantu memastikan kelancaran peperiksaan SPM yang akan bermula dari 2 hingga 29 Mac depan.

“Kita di KPM juga berharap agar prosedur operasi standard (SOP) dipertingkat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan calon SPM,” katanya.

KPM sebelum ini memohon kerjasama SPR agar sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan yang telah disusun atur terganggu.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA