Jentera Tempatan Bersemangat, Bersama Bantu Capai Kemenangan – Sharkar

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melihat jentera setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh cukup bersemangat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Menurut beliau menerusi pertemuan awal bersama jentera dan pimpinan UMNO Mersing pelbagai peringkat, pelbagai perkara dibincangkan dalam usaha membantu jentera setempat pada PRN kali ini.

“Semalam berlangsung program santai dan suai kenal bersama pengerusi-pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Tenggaroh. Mereka semua tampak sudah bersedia bagi menghadapi PRN Johor dari awal lagi,” katanya kepada UMNO-Online.

Selain daripada itu tambah Sharkar yang juga Ketua UMNO Temerloh, pihaknya turut melakukan tinjauan selain program santai bersama bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tenggaroh.

“Selain itu kita juga turut beramah mesra dengan sesi minum pagi bersama saudara K. Raven Kumar yang merupakan ADUN Tenggaroh sesi PRU ke-14 lalu di Gerai Nasi Dagang, Mersing.

“Turut bersama rombongan UMNO Bahagian Temerloh dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Mersing. Kita akan bersama-sama membantu kempen PRN nanti dan sama-sama kita doakan semoga BN melakar kemenangan dalam  PRN Johor kali ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.