PPBM Mimpi Dapat Pertahankan 11 Kerusi DUN Johor

Pelbagai teknik psywar atau perang saraf digunakan oleh parti-parti yang akan bertanding pada PRN Johor untuk memenangi hati pengundi dalam kempen mereka.

Namun kadangkala rakyat dan khalayak media boleh merasai kedangkalan teknik ‘positivisme’ yang mereka gunakan untuk meyakinkan pengundi.

Kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, DS Mohamed Azmin Ali bahawa Bersatu dengan kerjasama PAS akan dapat memenangi semula 11 kerusi DUN yang telah mereka menangi pada PRU-14 adalah sesuatu yang songsang dengan realiti.

Tidakkah Azmin terasa bahawa kenyataan sedemikain penuh dengan retorik dan propaganda apabila kerjasama yang diberikan oleh PAS kepada Bersatu telah gagal dengan teruknya di PRN Melaka?

Tidakkah kerjasama dengan PAS juga telah dinodai apabila terdapat Bahagian Bersatu yang mahu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP?

Mengangkat kejayaan PM-8, TS Muhyiddin Yassin dalam mengendalikan negara yang hanya mampu bertahan selama 17 bulan, adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan pengalaman pahit rakyat, bukan di Johor sahaja, malah di seluruh negara.

Rakyat tidak akan lupa, bagaimana pelaksanaan ‘Ordinan Darurat’ yang telah dipergunakan oleh Muhyiddin untuk menyekat sidang parlimen dalam hal ‘check and balance’ terhadap belanjawan negara sepanjang mereka berkuasa.

Malahan ia diterjemahkan sebagai modus operandi Muhyiddin untuk mempertahankan survival kedudukannya sebagai Perdana Menteri bagi mengelak sebarang ‘undi tidak percaya’ terhadapnya yang kahirnya berlaku juga setelah Ordinan Darurat diungkai.

Lihatlah bagaimana negara gagal mengekang pandemik Covid-19 sehingga Malaysia dicatatkan sebagai antara negara teratas di dunia yang paling teruk dijangkiti pandemik tersebut mengikut kiraan per kapita penduduk.

Rakyat juga tidak lupa dengan ‘total lockdown separuh masak’ kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang berpanjangan hampir setahun telah memusnahkan ekonomi rakyat, sedangkan Azmin Ali sebagai Menteri MITI dilihat lebih mementingkan golongan kapitalis apabila ‘kluster perkilangan’ yang menjadi punca merebaknya jangkitan tidak dipedulikan.

Kemudian rakyat juga melihat bagaimana sikap ‘penderhakaan’ Menteri Undang-Undang PN, Dtk Takiyuddin Hassan terhadap DYMM Agong apabila mempersoalkan kuasa Baginda.

Sebagaimana dilaporkan oleh media arus perdana, bahawa Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dtk Takiyuddin Hassan semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 berkenaan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Baginda juga telah menegaskan bahawa kenyataan Menteri Undang-Undang pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Azmin juga seperti menutup mata tentang kemelut politik dalam Bersatu apabila dua ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang dan ADUN Larkin, Dtk Mohd Izhar Ahmad telah mengisytiharkan keluar daripada parti Bersatu. Kedua-duanya juga adalah merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Soal mereka tidak akan dilantik untuk mempertahan DUN masing-masing tidak menjadi persoalan kerana Muhyiddin sendiri tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Gambir.

Bukan itu sahaja, tersebar pula ura-ura empat lagi ADUN Bersatu akan meninggalkan parti, manakala banyak cawangan Bersatu di Pagoh dan Pulai yang menjadi kubu kuat Muhyiddin telah dibubarkan.

Itupun belum lagi dibangkitkan bagaimana ugutan ‘menekan button’ yang disuarakan oleh Muhyiddin yang hakikatnya menggoncang ketidakstabilan kerajaan negeri dan dengan itu amatlah wajar DUN Johor dibubarkan.

Kerjasama dengan PAS juga hanyalah pemanis telinga sahaja kerana di JB, Armada Bersatu mahu parti itu bergabung dengan PH, yang didominasi DAP sebagaimana yang ditunjukkan ketika PH berkuasa.

Di Pengerang pula Ketua Bahagian Bersatu mahu PH memberi kerjasama kepada Bersatu untuk merampas kerusi DUN yang secara tradisinya adalah kubu kuat UMNO-BN. Rakyat dan pengundi tidak hairan kerana Bersatu dahulunya adalah sebahagian daripada PH.

Apa yang lebih dangkal ialah kenyataan rayuan Azmin supaya PN ‘diberikan peluang’ oleh pengundi Johor.

Jelas sekali ia bertentangan pula dengan semangat positivism itu kerana dia sendiri tidak yakin terhadap sokongan pengundi dan merayu mereka ‘diberikan peluang’.

Lantas, mengapakah DS Azmin Ali masih menganjurkan positivisme dengan retorik bahawa Bersatu akan dapat mempertahankan 11 kerusi DUN yang mereka sandang?

Oleh Dr Mamat Razali
*****
Dr Mamat Razali adalah penganalisis politik bebas lulusan UK dalam bidang Digital Journalism dan Political Studies.