Pengajaran Banjir… Nilai Malaysia Dalam Perpaduan, Toleransi, Gotong-royong

Bencana banjir dampak perubahan iklim yang melanda negara sangat menginsafkan. Sangat perit melihat kehilangan, kemusnahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh ramai rakyat Malaysia.

Disebalik duka nestapa yang melanda negara dan bangsa, telah terbit pengajaran yang sangat besar. Malaysia adalah ‘more a society and less state’.

Kebaikan, bantuan serta segala daya usaha orang persendirian dan badan bukan Kerajaan membuktikan bahawa cerita dan nilai Malaysia yang sebenarnya ialah setiakawan, perpaduan, toleransi dan gotong royong.

Melihat orang ramai berbondong-bondong membantu tanpa lelah, meyakinkan saya bahawa rakyat Malaysia sangat tanggungjawab menjaga satu sama lain.

Kerajaan mesti mengambil pengajaran bahawa kelemahan ia mengurus krisis tidak akan mudah dilupakan oleh rakyat Malaysia.

Wakil Kerajaan yang berucap di pentas antarabangsa bahawa perubahan iklim tidak mempunyai impak besar terhadap Malaysia mesti belajar menggunakan dataraya sebelum membuat kenyataan sepenting itu.

Wakil Kerajaan yang keliru tentang fungsi NADMA dan MKN dan bagaimana harus ia dikelolakan, wajar melakukan perkara paling terhormat dan mengundur diri.

Wakil Kerajaan yang berbaju Melayu segak dengan segala keramaian demi sebuah pelancaran gerakan kesukarelawanan, telah menjerumuskan Kerajaan kepada kemuncak kemarahan rakyat.

Dan yang paling malang ialah ketidakterlihatan ramai wakil kanan dan bukan kanan dalam Kabinet semasa krisis amatlah dikesali. Rupanya ramai yang telah pergi bercuti dalam keadaan negara berantakan.

Perdana Menteri sedari awal nampaknya bersendirian dalam pengurusan krisis ini. Walaupun beliau segera turun kelapangan dan gigih mengumumkan pelbagai intervensi Kerajaan, kemarahan rakyat terhadap prestasi anggota kabinet lain amat sukar dibendung.

Mereka tidak sedikitpun memaparkan kebingkasan setimpal 90 peratus markah pencapaian prestasi mereka.

Mewarisi Kabinet yang lemah dari kerajaan Perikatan Nasional yang gagal adalah masalah yang Malaysia perlukan penyelesaian.

Malaysia akan terus berhadapan dengan pelbagai lagi krisis alam sekitar dan ekonomi yang tidak terjangka. Negara memerlukan anggota Kerajaan yang berprestasi dan kompeten.

Perdana Menteri mempunyai peluang untuk melakukan reset ini dan beliau tahu bagaimana untuk melakukannya. Rakyat pula telah menghantar isyarat yang jelas.

Segala perkembangan mutakhir ini menunjukkan bahawa ‘kedudukan semasa Kerajaan’ adalah rumus pentadbiran yang tidak sesuai lagi untuk Malaysia.


DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.