Banjir: Fenomena Luar Biasa, Tindakan Juga Perlu Luas Biasa – Azhari

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan banjir pada kali ini disifatkan sebagai luar biasa kerana fenomena tidak terduga ini dikatakan berlaku 100 tahun sekali.

Katanya, di dalam mendepani situasi ini seharusnya kaedah holistik perlu dikaji serta dilaksanakan segera sebelum lebih banyak harta musnah dan nyawa manusia terkorban.

“Jumaat minggu lalu warga bandaraya Shah Alam terutama di Seri Muda, Kampung Kebun Bunga Batu Tiga, Kampung Padang Jawa dan Seksyen 20 dilanda banjir hingga menyebabkan kemusnahan harta benda.

“Harapan kita satu usaha bersepadu harus digembleng oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan terbabit dan juga lain-lain kawasan di negara ini.

“Langkah terbaik adalah mewujudkan banyak kolam menampung air hujan yang melimpah seperti yang wujud di Seksyen 13,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Azhari lagi, beliau serta pasukannya juga turut komited melakukan operasi pembersihan di kawasan terjejas termasuk memberikan bantuan secara berterusan.

Katanya, cuaca yang semakin baik juga memberikan peluang kepada mereka serta pihak lain untuk meringankan bebanan yang dihadapi oleh mangsa banjir.

“Mari kita doakan banjir besar ini tidak berulang lagi, dalam masa yang sama infrastruktur harus terus dipertingkatkan. Pada saat ini, tidak perlu kita menuding jari kepada mana-mana pihak melainkan semua pihak berusaha untuk mengelak banjir besar sebegini berulang.

“Sebelum ini banjir kilat melibatkan kawasan tertentu dan ia segera surut, namun kali ini kawasan rendah habis ditenggelami air. Namun akibat limpahan Sungai Damansara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan kawasan Stadium Shah Alam turut dilanda bah.

“Anggota penyelamat dan sukarelawan juga pada ketika itu bertungkus lumus membantu mangsa banjir dibawa ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) seperti di Pusat Latihan Pengajar Dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan lain-lain,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.