Banjir: UMNO Terus Bersama Rakyat, Fasa Kedua Lebih Mencabar – Noorazli

SEPANG, 23 Dis – Situasi bencana banjir yang semakin pulih di Selangor membolehkan mangsa-mangsa terlibat kembali ke kediaman masing-masing untuk membersih, mengemas atau melihat kerosakan yang dialami.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said menekankan bahawa UMNO sentiasa bersama rakyat mendepani kesulitan dan berharap agar lebih ramai lagi pihak akan turun padang bagi membantu mereka dalam fasa kedua.

“Banjir yang berlarutan selama tiga hari di Sepang ini sudah mulai surut. Justeru UMNO Bahagian Sepang mengharapkan lebih banyak lagi bantuan-bantuan dari NGO mahupun kerajaan Pusat untuk turun ke Parlimen Sepang kerana rakyat yang terkesan perlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan selepas ini,” katanya kepada UMNO Online,.

Jelasnya, dalam menangani banjir, kini Sepang telah memasusi fasa kedua iaitu menggerakkan operasi pembersihan.

“Pembersihan banjir ini sebenarnya lebih parah lagi daripada menyelamatkan mangsa banjir. Namun begitu kita tak patah semangat kerana UMNO Bahagian Sepang terus aktif dan dalam masa yang sama, kita juga mengalu-alukan semua masyarakat yang ada di luar sana untuk sama-sama peduli terhadap mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir ini.”

Ini kerana katanya, urusan pembersihan perlukan tenaga kerja yang ramai malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, agensi kerajaan, individu mahupun sukarelawan diminta agar dapat turun padang memberikan bantuan dalam operasi ini.

“Sekolah Kebangsaan Olak Lempit adalah salah satu daripada 12 pusat penempatan sementara (PPS) di Parlimen Sepang dan hampir 8 ribu orang yang terlibat dengan banjir di sini,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada orang ramai yang datang termasuklah keprihatinan bantuan sumbangan dari UMNO Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.