Demi Agama, Bangsa, Tanah Air… UMNO Semarakkan ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’

Tarikh 18 Disember adalah manifestasi keampuhan sebuah parti dalam satu landasan perjuangan mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air.

Pada tarikh ini, mesyuarat UMNO bahagian dilaksanakan secara serentak di seluruh negara yang melibatkan 191 bahagian selepas persidangan peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung dengan jayanya. Terdahulu, mesyuarat Cawangan yang diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November lalu merealitikan sokongan akar umbi terhadap parti dengan satu aplikasi perjuangan tanpa.

Sesungguhnya, mesyuarat UMNO dalam setiap peringkat adalah bukti bagaimana pentingnya parti ini berperanan untuk memastikan kesinambungan satu-satunya wadah yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara terus segar malar.

Perjuangan UMNO bukanlah bersifat populis dan retorik semata-mata kerana realiti menjadi bukti, dalam keadaan di tampuk kuasa malah sekalipun bergelar pembangkang, UMNO tetap melaksanakan khidmat bakti. Nyata bahawa tanpa pangkat dan kedudukan sekalipun, perjuangan UMNO diteruskan sebagaimana pepatah ‘patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku’.

Telah terbukti perjuangan UMNO bukan untuk kemerdekaan semata-mata malah lebih daripada itu pelbagai lapisan generasi telah merasai jasa dan baktinya kepada setiap individu di negara ini.

Sebagaimana asas dan tujuan penubuhannya yang berjuang untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara, UMNO bertanggungjawab mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

Apa yang pasti, usaha untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi negara selain terus menghormati prinsip kebangsaan beragama tetap menjadi pegangan biarpun telah lebih enam dasawarsa usia UMNO.

Jika pada hari ini ada pihak yang mahu memperjuangkan keadilan dan hak bersuara maka sebenarnya, perjuangan UMNO telah meliputi pertalian tersebut. Apatah lagi jika ada yang mengakui memulakan langkah muafakat kerana UMNO adalah perintis malah mengekalkan permuafakan itu menerusi kebersamaan kompenan Barisan Nasional demi rakyat Malaysia. Keutamaan untuk mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan.

Dengan kata lain, hak keadilan yang diberikan adalah berlandaskan undang-undang dan bukanlah perjuangan membuta tuli tanpa matlamat apatah lagi untuk menghancurkan negara sepertimana yang telah dilakukan oleh kerajaan 22 bulan atau yang selepasnya.

Sememangnya, UMNO adalah parti yang jelas bukan sahaja dari segi matlamat penubuhan dan fokus perjuangannya malah konsisten teguh atas nama Islam, bangsa Melayu dan Malaysia, tanah air tercinta. Lebih dari itu, kemantapan organisasi dan sistem yang didukungnya tidak dapat dipertikai selain daripada keluhuran dan keikhlasan memastikan tekad untuk terus berkerja, dari rakyat, kerana rakyat dan untuk rakyat keseluruhan.

Inilah wadah perjuangan UMNO yang perlu terus dipertahankan dari semasa ke semasa, diwariskan kepada setiap generasi negara kembali stabil dan sejahtera. Perjuangan UMNO bukanlah semata-mata menyemarakkan kepimpinan dan ahli-ahlinya dengan jati diri bangsa semata-mata tetapi juga perjuangan ke arah kestabilan dan kemakmuran rakyat dalam negara bernama Malaysia.

Justeru, kejituan dan keperkasaan parti ini perlu terus dimantapkan sebagai warisan perjuangan kepada setiap lapisan generasi. Ini penting agar mereka mampu mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara di samping mendukung Perlembagaan Malaysia yang menjadi teras keharmonian, menegak serta mengembangkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Masa menjadi bukti, semalam yang berlalu menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 adalah realiti bahawa gagalnya UMNO dalam mengekalkan kuasa menjadikan negara kucar-kacir ibarat tiada hala tuju hinggakan rakyat menjadi mangsa.

Oleh itu, pentingnya persidangan kali ini bukan saja perlu untuk membincangkan permasalahan parti dan bangsa Melayu kerana apa yang lebih utama adalah masa hadapan yang akan dilalui untuk kesiapsiagaan berdepan dengan ‘perang politik’ dan mengharungi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Perkukuhkanlah ikatan, sematkanlah kesetiaan dan terus semarakkan semangat juang untuk menjadi azimat dalam menghadapi apa jua rintangan yang mendatang kerana UMNO tidak pernah goyah dalam matlamat demi agama Islam, untuk bangsa Melayu dan kerana tanah air tercinta, Malaysia!

Selamat Bersidang

EDITOR UMNO ONLINE
Ropikah Ahmad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.