Pendekatan Dekati Pengundi Perlu Pelbagai, Ikut Geografi Semasa – Noraini

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keadaan geografi politik yang hari ini berbeza berbanding sebelum ini perlu diberi tumpuan dan perhatian yang mendalam.

Ini kerana katanya menerusi pendekatan baharu berkenaan, pengundi di bandar mahu pun luar bandar atau kawasan-kawasan lain dapat diyakini dan seterusnya mendapat kepercayaan pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Sekarang ini kita berdepan dengan norma baharu dengan keadaan geografi yang dah berbeza berbanding dahulu… luar bandar sebagai contoh kita boleh secara konvensional tetapi bagaimana pula dengan ‘sub urban’ dan ‘urban area’.

“Sebab itu Wanita UMNO dan parti perlu sama-sama fikirkan cara yang paling praktikal untuk kita berdepan senario ini,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama perwakilan Wanita UMNO Parit Sulong mengadakan mesyuarat Wanita Bahagian yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian berkenaan, Datuk Zulkurnain Kamisan. Turut serta pimpinan UMNO bahagian yang lain.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan jentera Wanita terutama di Parit Sulong untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

“Kepada JR (Jalinan Rakyat) terutama di Parit Sulong ini, sekarang ini kita semua kena bersedia, bersiap-siaga untuk PRU-15 yang akan datang kerana, ternyata pendekatan sudah berbeza, padang sudah berubah, gelanggang sudah tidak sama.

“Apatah lagi bila berhadapan dengan pandemik yang belum selesai ini, ditambah lagi dengan cabaran penularan baru varian Omicron yang dikatakan lebih mengganas daripada varian Delta, sudah semestinya kita kena tukar cara dan gerak kerja dalam JR mengikut norma baharu,” ujarnya.

Sementara itu dalam ucapannya Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Parit Sulong berkata Wanita UMNO tetap setiap dalam apa jua keadaan.

Malah tambah beliau lagi ketika parti mengalami kekalahan pada PRU yang lalu, Wanita UMNO tidak lari meninggalkan perjuangan.

“Mereka tidak meninggalkan perjuangan UMNO ketika UMNO kalah. Mereka juga tetap bersama ketika UMNO tidak lagi punya kuasa. Mereka tidak henti bekerja untuk parti. Mereka bangkit memulakan gerak kerja sejak 2018 lagi. Saya kira para perwakilan yang ada di dalam dewan ini layak untuk kita panggil sebagai ‘ibu terbaik bangsa’.

“Di sini, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada JR Parit Sulong yang kita sanjungi, yang selama ini jerih payah mereka membantu parti, tanpa mengharap apa-apa imbuhan dan balasan, serta yang paling saya kagum sekali adalah, sewaktu kita kalah dulu, datanglah pihak tertentu yang cuba memikat segelintir ahli wanita kita sertai mereka.

“Namun, saya perhatikan, tiada sorang pun yang goyah, malah kesetiaan JR terutama di Parit Sulong ini tetap tak berbelah bahagi, bahkan semakin bertambah-tambah. Alhamdulillah,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.