Rakyat Sarawak Perlu Buat Pilihan Betul Untuk Mudahkan Urusan K’jaan Negeri, Pusat – PM

KAPIT, 4 Dis – Rakyat Sarawak perlu membuat pilihan yang betul pada Pilihan Raya Negeri ke-12 supaya hubungan baik kekal terjalin antara kerajaan negeri dan pusat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, hubungan yang baik adalah penting untuk memudahkan urusan antara kedua-dua kerajaan terutamanya dalam melaksanakan pembangunan rakyat Sarawak.

Mengambil contoh pembinaan Jambatan Sungai Yong Kedua bernilai RM12.6 juta yang terletak 15 kilometer dari sini, Ismail Sabri berkata ia tidak akan terlaksana sekiranya kerajaan negeri dan pusat mempunyai haluan yang berbeza.

“Tapi orang Sarawak membuat pilihan yang tepat apabila memilih kerajaan negeri yang sama (pada PRN-11).

“Dan saya lebih senang dan lebih mudah kerja saya, sebab Ketua Menteri Sarawak Abang Jo (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) adalah sahabat saya. Sebab itu, kali ini saya harap jangan membuat keputusan yang silap, banyak lagi yang hendak lulus ini tidak dapat dilaksanakan, kalau lain pemerintah negeri dengan pusat,” katanya semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit Town Square di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, semakin banyak kenyataan tidak berasas akan dilemparkan, termasuk mendakwa kerajaan pusat tidak memberikan tumpuan terhadap soal pembangunan di Sarawak.

Kerajaan pusat menurutnya telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sarawak termasuk membina Jalan Kanowit-Song-Kapit, yang menelan belanja RM750 juta.

Di Bahagian Kapit sahaja menurut Ismail Sabri, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM53 juta di bawah Bajet 2022, untuk membina Jalan Bukit Jayung ke Simpang Jalan Datar Kakus di Belaga, dan RM40 juta untuk membina pencawang pembahagi utama dan talian di Nanga Merit.

Kerajaan pusat katanya, turut membelanjakan RM30 juta untuk melaksanakan projek bekalan air luar bandar di kawasan Nanga Mujong, serta RM4.89 juta untuk membina pusat pendidikan awal kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Jampuk.

Sementara itu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa I, Perdana Menteri berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM4.09 bilion melibatkan pembinaan 823 menara baharu, menaik taraf 3,012 stesen pemancar dan pembinaan gentian optik di 73,588 premis di seluruh Sarawak.

“Kita menyasarkan pada akhir tahun 2022, semua, tidak kira di kampung, di luar bandar dan sebagainya, akan mendapat capaian internet bagi memudahkan semua urusan termasuk pembelajaran anak-anak,” kata Ismail Sabri.

Ini katanya membuktikan kerajaan pusat memberikan tumpuan sepenuhya terhadap keperluan pembangunan di Sarawak.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan RM20 juta dan RM5 juta untuk membina jalan alternatif dari Lapangan Terbang Kapit ke Bangunan Kompleks Kerajaan Negeri Kapit serta pusat haemodialisis di Hospital Kapit.

Beliau turut mengumumkan proses pengambilan tanah sedang dilakukan untuk membolehkan pembinaan Kolej Profesional Mara bernilai RM97 juta di Kapit. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.