Golongan Muda Pasti Bersama Jika Diberi Maklumat Secukupnya, Jasa Dan Sumbangan BN Kepada Negara

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengundi muda pasti bersama Barisan Nasional (BN) jika mereka mengetahui tentang sumbangan dan jasa besar kerajaan BN kepada rakyat dan negara.

Kata Pengerusi BN itu, pengundi muda pasti meyakini BN andai mereka sedari kerajaan BN adalah ‘arkitek’ kepada segala kemudahan yang sedang mereka nikmati termasuk pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.

“Pengundi muda pasti mempercayai BN sekiranya mereka diperlihatkan tentang rekod gemilang kerajaan BN dalam memakmurkan dan mensejahterakan tanah air.

“Pengundi muda pasti menyokong BN jika mereka difahamkan tentang kerajaan BN yang tertewas PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) adalah angkara fitnah dan manipulasi politik.

“Pengundi muda pasti mahu BN kembali sebagai teras kerajaan Malaysia kerana golongan itu yang dilengkapi teknologi maklumat memiliki daya fikir yang tinggi,” kata Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya Ahmad Zahid menyeru seluruh pemimpin, ahli dan penyokong BN perlu berusaha memastikan golongan muda negara cakna mengenai fakta-fakta penting ini demi masa depan kita semua.

“Jangan bersangka sebaliknya terhadap mereka, malah seharusnya meyakini orang muda mempunyai fikiran yang rasional dan mampu menilai dengan baik.

“Apa yang pengundi muda perlukan adalah sedikit dorongan agar mereka dapat membuat penilaian yang jujur tentang kemampuan kerajaan BN,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.


Begitu juga katanya dalam isu terkini berkaitan kenaikan harga barang yang konon disebabkan BN menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Generasi muda masa kini yang merupakan generasi berpengetahuan mampu menilai sama ada dakwaan itu berasas atau sekadar pembohongan.

“Secara literal tiada logik ekonomi bagaimana kemenangan BN di sebuah negeri boleh dikaitkan dengan kenaikan harga barang.

“Walhal ia merupakan permasalahan global berikutan peningkatan kos serta kesan permintaan dan penawaran,” ujarnya.

Ulasnya lagi, permasalahan itu menjadi semakin berat disebabkan ketiadaan dasar kontingensi kerajaan 22 bulan dan 17 bulan untuk kemungkinan itu.

“Justeru, sematkan keyakinan bahawa pengundi muda tidak semudah itu dipermainkan dan teruskan usaha mendekati serta memperlihatkan kebenaran kepada mereka,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.