Tolong Turun Ke Lapangan… Ambil Peduli Kesejahteraan Rakyat – Armand


KUALA LUMPUR, 1 Dis – Melihat kepada situasi negara pada hari ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memohon kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau harga barang terutama keperluan asas.

Menurutnya, perkara ini harus diambil serius dan mengambil pendekatan bijak demi kesejahteraan rakyat.

“Tolong… tolong tengok dan turun ke lapangan ini bukan satu perkara yang main-main. Ini perkara yang perlu diambil peduli dan patut menjadi keutamaan iaitu isu kesejahteraan rakyat ataupun memang hendak sabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kena ingat janji 100 hari tentang pentingnya menjaga kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Kalau anda gagal… saya rasa lebih baik Perdana Menteri  mengambil keputusan untuk ‘tukar kabinet’ menteri-menteri yang tidak tahu buat kerja.

“Jangan keluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengguriskan perasaan rakyat sedangkan rakyat diuji pelbagai masalah seperti ekonomi, tekanan dari pelbagai sudut dan kos pengangguran dan sebagainya. Turun dan tengok di luar keadaan sudah semakin teruk dan jangan main-main. Adakah sengaja hendak menyakiti hati rakyat? Ambil peduli dengan situasi ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berharap agar kementerian yang terbabit dapat turun lapangan dan menyelesaikan masalah secepatnya.

“Kalau anda semua tidak turun dan berfikir mencari jalan penyelesaiaan, perkara ini tidak akan selesai dan tidak menguntungkan kepada rakyat dan negara.

“Kepada Menteri Kewangan ini bukan masa nak menaikkan cukai, setem duti sebagainya, ini masa untuk menaikkan FDI (pelaburan langsung asing) ke dalam negara. RM84 bilion hilang dalam masa tiga minggu di Bursa Saham Kuala Lumpur kerana dasar baru, fikir-fikirkan,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.