Rahman Secara Sinis Timbulkan Persoalan Kemasukan Ahli Parlimen Lahad Datu Ke Dalam PPBM

KUALA LUMPPUR, 28 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan secara sinis melihat kemasukan Datuk Mohamaddin Ketapi ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai satu langkah yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Tegas beliau yang juga Ketua UMNO Tuaran, mesej daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak mampu dihadam dan apakah ianya memberi kelebihan kepada GRS apabila PPBM menerima kemasukan Ahli Parlimen Lahad Datu.

“Akhirnya Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi melompat masuk PPBM juga. Akhirnya PPBM pun terima juga. Nampaknya mesej dari PRN Melaka masih tidak mampu dihadam oleh sesetengah pihak.

“Tak faham saya. PRU-15 pun tidak lama lagi. Dalam tempoh setahun lebih dari sekarang, suka tidak suka, PRU-15 tetap akan diadakan. Mungkin juga akan diadakan lebih awal. Jadi apa kelebihan untuk GRS bila PPBM menerima Datuk Mohamaddin Ketapi? Yang pasti rakyat akan bertambah marah dengan GRS. Takkan GRS tidak faham kebencian rakyat terhadap budaya katak?

“Kalau pun Datuk Mohamaddin Ketapi sekarang tiba-tiba sudah sedar dan menjadi penyokong kuat PPBM, apa salahnya kekal saja menjadi bebas dan sokonglah dasar-dasar kerajaan yang difikirkannya baik untuk rakyat. Tak perlulah lompat sana, lompat sini. Jagalah maruah tu sikit. Kepada Datuk Mohamaddin Ketapi, ini pandangan ikhlas saya kepada Datuk,” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata beliau lagi tidak salah menjadi ahli parlimen pembangkang atau ahli parlimen bebas.

“Pembangkang dan bebas mempunyai fungsi penting dalam sistem demokrasi. Rakyat mahukan sistem semak dan imbang.
Janganlah bagi alasan mahu melompat untuk jaga kepentingan rakyat di kawasan yang diwakili.

“PPBM pula janganlah bagi alasan menerima lompatan itu untuk memperkukuhkan kerajaan sedia ada. Rakyat tidaklah sebodoh itu. Mereka tahu apa sebabnya. Belajarlah dari Melaka. Kalau tidak apa guna UMNO Sabah berada dalam GRS kalau kemarahan rakyat akan tempias kepada UMNO Sabah?,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.