Kerajaan Mesti Segera Tangani Isu Peningkatan Harga Barangan Asas

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kerajaan mesti segera menangani isu peningkatan harga barangan keperluan asas dan harga makanan dengan segera, ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pemantauan harga mesti dilaksanakan dengan agresif.

“Jangan biarkan apa jua bentuk memanipulasi harga pasaran berlaku.

“Perkasakan sistem maklumat pasaran untuk makanan dan bangunkan kesedaran pengguna untuk memantau harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Beliau juga sekali lagi menyarankan pengenalan kupon atau ‘voucher’ makanan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat bagi keluarga yang paling terkesan.

Begitu juga katanya kapasiti pengeluaran makanan negara mesti setanding dengan negara pertanian serantau di ASEAN.

“Kini, pengeluaran sumber makanan negara masih bergerak pada kadar perlahan disebabkan penggunaan teknologi rendah, cabaran kawalan penyakit, perubahan cuaca dan kerugian lepas-tuai yang tinggi.

“Inovasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk membina ketahanan terhadap faktor cuaca yang tidak menentu serta perubahan pasaran adalah pelaburan penting bagi memastikan sekuriti makanan negara akan lebih lestari dan terjamin,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi.

Seterusnya katanya lagi, negara perlu membangunkan semula sektor agro-makanan yang telah lama dipinggirkan disebabkan penekanan kepada sektor perindustrian mulai tahun 1980an.

Ulasnya juga, rakyat kini terus terbeban dengan harga sayur yang naik mendadak melebihi dua kali ganda.

“Kenaikan ini menyusul selepas kenaikan harga ayam dan telur yang secara keseluruhannya memaparkan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

“Saya faham bahawa fenomena kenaikan harga adalah norma pasaran dan dipengaruhi oleh lebihan permintaan atau penawaran, faktor cuaca serta kos pengangkutan.

“Namun, kenaikan keterlaluan amat membebankan rakyat, terutamanya yang terhimpit akibat kehilangan mata pencarian,” katanya.

Tambahnya, Malaysia nampaknya mula mengalami masalah ketidakjaminan makanan.

“Isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada kehilangan akses untuk sumber makanan yang mencukupi dan berkhasiat pada harga yang berpatutan.

“Semua ini amat membimbangkan kerana 25% daripada kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan atau tumbesaran terbantut disebabkan tabiat pemakanan yang kurang sihat,” katanya.

Kesannya, ia akan menjejaskan potensi pembelajaran serta produktiviti tenaga kerja masa depan, tambah Mohamad.

“Jika dibiarkan, ia akan mengukuhkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.