Tekad Teruskan Perjuangan, Abdul Halim Komited Sambung Agenda Pembangunan DUN Tiram

TEBRAU, 27 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman bertekad meneruskan perjuangan dan kesinambungan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini demi memastikan kebajikan serta keperluan rakyat terus diberi perhatian.

Menurut beliau, segala usaha yang telah digerakkan oleh penyandang terdahulu, Azizul Bachok, akan diteruskan dan diperkasakan selaras dengan dasar kerajaan Barisan Nasional demi memastikan pembangunan di DUN Tiram berjalan secara berterusan.

“Saya akan meneruskan segala perkara yang telah dilakukan sebelum ini mengikut dasar kerajaan Barisan Nasional. Saya yakin sekiranya rakyat sekali lagi memberi kepercayaan kepada BN, kita akan melakukan yang terbaik dan terus membangunkan kawasan ini mengikut keperluan semasa,” katanya selepas selesai proses penamaan calon, hari ini.

Abdul Halim turut menegaskan bahawa persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu berlangsung secara sihat dan berhemah sebagai mencerminkan kematangan demokrasi negara.

Beliau berkata, semua calon yang bertanding wajar menghormati proses demokrasi tanpa menjatuhkan pihak lain, sebaliknya mengutamakan perpaduan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Kita anggap ini proses demokrasi. Biarlah kita melaluinya dengan cara yang baik tanpa menyalahkan orang lain. Apa yang penting ialah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia membangunkan negeri secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar terus memperkukuhkan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan mesej dan agenda perjuangan parti dapat disampaikan kepada pengundi.

Menurutnya, gerak kerja membantu rakyat sebenarnya telah lama dilaksanakan dan bukan hanya bermula selepas penamaan calon.

“Sebenarnya kita telah bekerja sebelum penamaan calon lagi. Apa yang dilakukan sebelum ini akan diteruskan dan diperkukuhkan bersama seluruh jentera,” katanya.

Beliau yang juga anak jati tempatan turut menyifatkan kelebihan mengenali setiap pelosok kawasan DUN Tiram sebagai satu kekuatan untuk memahami keperluan rakyat dengan lebih dekat.

“Saya memang anak jati di sini dan membesar di kawasan Tiram. Saya tahu setiap penjuru kawasan ini, saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk membangunkan Tiram. Insya-Allah, segala perkara yang masih tertangguh akan saya usahakan mengikut keperluan semasa,” katanya lagi.

Dalam PRN ini, Abdul Halim berdepan saingan empat penjuru dengan berdepan tentangan dari calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersama.

Pada PRN Johor 2022, BN berjaya merampas semula kerusi DUN Tiram selepas memperoleh 22,939 undi dan menewaskan tiga pencabarnya dengan majoriti 5,281 undi dalam pertandingan empat penjuru yang turut melibatkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, sekali gus menyaksikan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari. Pengundian awal dijadualkan pada 7 Julai 2026, manakala rakyat Johor akan keluar mengundi pada 11 Julai 2026 bagi memilih wakil rakyat di 56 kawasan DUN. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO