Had Umur Persaraan Kakitangan Awam Sudah Memadai – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berpandangan dasar sedia ada berhubung had umur persaraan kakitangan awam sudah memadai.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, perkara yang perlu ialah bagaimana memberikan peluang kepada ramai lagi graduan atau mereka yang tidak berpeluang untuk bekerja di sektor awam di negara ini.

“Malah. Tenaga muda penting.  Sektor awam mesti ditingkatkan lagi perkhidmatannya.

“Tenaga muda perlu diberikan peluang agar lebih ramai mengetuai jabatan atau agensi kerajaan dalam negara kerana cabaran sekarang sudah berbeza,” ulasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Hari ini, media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melihat secara holistik segala aspek berhubung cadangan untuk menaikkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini.

Ia termasuk mengambil kira terdapat setengah juta graduan yang menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) setiap tahun.

Menurut JPA, terdapat cadangan daripada Bank Dunia untuk menaikkan had usia persaraan secara berperingkat berdasarkan tahap kesihatan yang semakin baik dan masih ramai yang boleh berkhidmat selepas umur 60 tahun.

Justeru jelas Dr Shamsul yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), kerajaan perlu cuba melaksanakan dasar baharu untuk memberikan peluang kepada golongan muda mengetuai jabatan atau agensi tanpa melalui proses atau tempoh kenaikan pangkat yang terlalu lama.

“Kalau memang dia mampu. Berikan peluang tanpa melalui proses yang terlalu lama,” katanya.

Tambahnya lagi, jika ramai yang minta anak muda diberi peluang dalam politik, kenapa tidak anak muda di sektor awam diberikan peluang.

“Ramai anak muda yang berkebolehan. Setuju tak?,” soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.