“UMNO Ni Sombong. Khianat Perjanjian. Berasa Diri Kuat”

“UMNO ni sombong. Khianat perjanjian. Berasa diri kuat.”

Bila dapat respon-respon sebegini, saya cuba lihat balik apa persetujuan yang asalnya ada dalam mesyuarat Muafakat Nasional. Ada dua persetujuan asas ketika rundingan kerusi:

Syarat pertama. Kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) hendaklah dikekalkan kepada penyandang.

Faktanya daripada lapan kerusi yang akan ditandingi PAS, empat daripadanya adalah kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14.

Syarat kedua. Kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) akan dibahagikan antara UMNO dan PAS. Asas utama pembahagian adalah parti yang mendapat lebih undi pada PRU14 akan diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi tersebut.

Faktanya daripada 20 kerusi yang ditandingi UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kesemuanya adalah kerusi yang mana undi UMNO melebihi undi PAS pada PRU14.

Ini adalah dua perkara asas. Dalam kedua-dua syarat asas ini, saya tidak nampak satupun syarat yang dimungkiri UMNO. Jadi bagaimana kita boleh kata UMNO khianat kepada Muafakat Nasional?

Malahan daripada kerusi-kerusi ini pun, asalnya UMNO menawarkan dua kerusi kepada PAS sebelum tawaran itu ditolak. Ini adalah kerusi-kerusi berstatus boleh menang. Bukan kerusi-kerusi sukar yang menjadi kubu PH.

Saya fikir adalah hak PAS untuk memilih bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan melawan UMNO. Begitu juga hak UMNO / Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kerusi kali ini. Ia sesuatu yang tak dapat dielak memandangkan kedua-dua parti masih bereksperimen sebelum masuk ke gelangang sebenar (PRU15).

Tetapi sekurang-kurangnya berlawanlah secara seorang kawan. Kita buat secara friendly match. Kita saling hormat hak masing-masing. Kita tidak demonize satu sama lain. Kita tidak play victim untuk mencari simpati pengundi.

Friendly match adalah budaya yang sudah biasa dalam politik pilihan raya negara Barat. Bukan sesuatu yang pelik pun.

Saya bagi contoh Jerman. Parti pemerintah di peringkat persekutuan adalah gabungan Social Democratic Party of Germany (SPD) dan Christian Social Union (CSU). Ia dibentuk beberapa bulan selepas PRU 2017.

Tetapi dalam Pilihan Raya Negeri Bavaria 2018, kedua-dua parti bertembung. Walaupun berlawan antara satu sama lain, kedua-dua parti masih mempertahankan dasar kerajaan persekutuan, tidak cari simpati dengan memburukkan parti rakan dan fokus untuk mengalahkan parti pembangkang.

Inilah budaya politik normal di negara-negara maju. Kita juga akan mengalami perkara itu.

Masing-masing sudah memilih dengan jalan yang berbeza. Istiqamahlah dengan jalan tersebut sahaja. – UMNO ONLINE

Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.