Bajet 2022 – Penanda Aras Kesejahteraan Rakyat

1. Pantun Keluarga Malaysia

Dalam taman, berkarya seni,
Hidup sihat, panjang usia;
Hidup Aman, makmur harmoni,
Itulah hasrat, keluarga Malaysia.

Suasana ceria, di Hari Raya,
Warna biru, cantiknya baju;
Satu Malaysia, keluarga berjaya,
Masyarakat padu, negara maju.

Satu dua, tiga empat,
Lima enam, tujuh lapan;
Hidup keluarga, jangan merempat,
Bina impian, masa hadapan.

Dua tiga, empat lima,
Enam tujuh, lapan Sembilan;
Hidup keluarga, bekerjasama,
Bangkit teguh, capai wawasan.

2. Di setiap agensi pelbagai Kementerian dicadang adakan 5 anugerah berikut untuk jadi pemangkin kepada gerakan sosial rakyat di peringkat Parlimen:-

ABC – Anugerah Belia Cemerlang Peringkat Parlimen;
AUC – Anugerah Usahawan Cemerlang;
ASC – Anugerah Sekolah Cemerlang;
ADC – Anugerah Desa Cemerlang;
AMC – Anugerah Masjid / Surau Cemerlang;
Boleh diadakan semua ini di bawah inisiatif Keluarga Malaysia.

3. Minta semua Kementerian menyatakan apakah program dan jumlah peruntukan di bawah Kementerian dan agensi-agensi mereka untuk pembangunan negeri Melaka dan negeri Sarawak dan Sabah. Contohnya Bantuan Tunai 2021, untuk Sarawak seramai 978,434 penerima dengan jumlah RM1.5 bilion, Sabah 864,464 penerima berjumlah RM1.3 bilion dan Melaka RM412 juta.

4. Adalah di minta EPU bersama MOF, Kementerian Kewangan menyenaraikan projek pembangunan untuk manfaat rakyat mengikut semua kawasan parlimen. Data dan maklumat itu perlu agar semua parlimen mendapat peruntukan yang lebih adil dan merata.

4.1. Contohnya Bukit Bintang, Cheras, Kepong, Seputeh, Petaling Jaya mendapat billion ringgit pembangunan MRT, LRT, Jalur Lebar, 5G, lingkaran lebuh raya, lampu jalan dan bangunan-bangunan kerajaan.

4.2. Maka, kawasan lain perlu diberikan pembangunan yang sesuai agar keadilan diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, dengan pembangunan merata bagi merapatkan jurang.

5. Bagi mewujudkan kehidupan yang lebih baik maka adakan penanda aras / KPI pembangunan tertentu untuk sesebuah kampong/desa di luar bandar contohnya:-

5.1. Penyelenggaraan parit dan saliran oleh JPS 4 bulan sekali / 3 kali setahun untuk semua parit, sungai besar dan kecil.

5.2. Memasang lampu jalan dengan jumlah yang mencukupi untuk semua kampung. Data yang ada dengan TNB mesti diselaras agar pemberian, lampu jalan ini ini diberi dengan adil dan sama banyak.

5.3. Membersihkan rumput semak samun oleh JKR untuk semua jalan kampung dan menurap semula dalam tempoh masa yang tertentu. Jalan pula mesti ada keluasan yang wajib bagi membolehkan kenderaan dapat berselisih.

6. Untuk mengatasi keciciran sekitar 60% daripada 400 ribu lepasan SPM yang berjumlah sekitar 250 ribu anak muda setahun, maka:-

6.1. Kajian perlu dilakukan oleh Kementerian Pendidikan, EPU dan NGO tertentu seperti GPMS, bagi mendapatkan data yang tepat.

6.2. Kajian mendalam oleh universiti tempatan di bawah KPT agar formula yang tuntas diperolehi bagi memastikan isu ini selesai untuk manfaat rakyat dan negara.

6.3. Kajian mesti dibuat oleh MEDAC, Kementerian Pembangunan Usahawan bagi menyediakan subjek baru keusahawan sebagai satu mata pelajaran teras daripada tingkatan 1 hingga 5 dan boleh dilanjutkan ke Tingkatan 6.

7. Kementerian Kewangan, LHDN dan Kastam perlu membuat kajian terperinci secara akademik dan professional berhubung
cukai VAT (Value Added Tax) atau apa juga sistem percukaian yang boleh mentransformasikan pendapatan negara agar lebih mantap dan stabil.

7.1. Minyak naik, maka subsidi naik. Tahun ini RM8 bilion subsidi. Tahun depan RM15 bilion subsidi minyak. Dicadang subsidi dibuat secara bersasar dan bukan tersasar. Subsidi pukal menguntungkan orang kaya dan tidak adil kepada yang kurang berada.

7.2. Akta Tanggungjawab Fiskal yang diumumkan wajar menggariskan langkah-langkah perlu bagi memastikan pendapatan kerajaan sentiasa bertambah untuk manfaat rakyat. Seperkara yang penting, hutang yang terlalu banyak dan membebankan generasi akan datang mesti dielakkan. Kementerian juga mesti sediakan senarai dan nilaikan segala aset tetap dan mudah alih milik kerajaan dan kerajaan negeri, bukan hanya senarai hutang.

8. Menyediakan 600 ribu pekerjaan adalah kejayaan yang hebat namun berapa banyak jumlah yang bergaji tinggi dan merupakan kerjaya nilai tambah dan professional. Kadar pengangguran 4% wajar diturunkan lagi kepada 3% untuk mendapatkan guna tenaga penuh (full employment level).

8.1. Perlu ada keseimbangan antara keperluan pasaran dengan kursus di Universiti dan program TVET. Kerjasama antara pemain industri dengan institusi pengajian perlu sentiasa ada.

8.2. Peningkatan kemahiran perlu sentiasa dilakukan sewaktu bekerja atau diberi peluang menghadiri kursus-kursus profesionalisme bagi meningkatkan kadar gaji sedia ada. Rakyat perlukan ekonomi dan pelaburan yang dibawa MITI dan MIDA bernilai dan berkualiti tinggi bagi menjamin pendapatan rakyat yang sewajarnya juga tinggi.

9. Kepada Kementerian Kewangan, MITI, JPM (Ekonomi) dan Kementerian Usahawan. Seorang bekas Menteri Besar di sebuah negeri bila berdiskusi tentang bantuan kepada Bumiputera menyebut “Sudah 60 tahun saya melihat sendiri dasar kerajaan menolong Bumiputera. Yang saya nampak dalam bidang pelajaran ada kemajuan. Namun dalam bidang ekonomi tidak maju-maju. Dapat tanah, tanah dijual. Dapat lesen, lesen dijual. Dapat saham free, saham dijual. Dapat permit, permit dijual…”

Kenyataan bekas MB itu adalah fenomena menyedihkan yang mesti diubah dan mesti berubah. Maka agensi-agensi yang membantu Bumiputera mesti lebih teliti dan teratur dalam memberi bantuan agar kesan jangka panjang penyusunan masyarakat dapat dicapai.

10. Secara umumnya bantuan tunai langsung ini boleh membantu meringankan beban golongan rentan dan terjejas semasa pandemik. Pada masa yang sama juga boleh merancakkan ekonomi melalui aktiviti perbelanjaan.

10.1. Isi rumah yang berpendapatan RM2500 ke bawah dengan 3 orang anak akan terima RM2000 di bawah skim Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM1800. Ingin dicadangkan untuk jangkamasa panjang mereka ini juga diberi bantuan dalam bentuk saham seperti ASM/ASB dan diberikan juga dividen pada hujung tahun kewangan.

11. Kerajaan dilihat bersungguh sungguh untuk membantu perusahaaan peringkat PMKS mikro, kecil dan sederhana dengan mengadakan berbagai skim bantuan pinjaman mudah. Pengumumnan ini selari dengan kehendak peniaga dan pengusaha. Tetapi dalam pada masa yang sama ramai juga yang merungut proses pemohonan terlalu birokrasi.

11.1. Untuk mengatasi masalah ini diharapkan kerajaan dapat lebih bertolak ansur dalam memberikan kemudahan dan dalam masa yang sama pemohon diberikan latihan yang lebih efektif dalam soal pengurusan kewangan dan dokumentasi.

11.2. Jumlah RM40 bilion kepada PMKS untuk program Semarak Niaga. 38% PMKS Bumiputera terima RM15.2 bilion dan 62% PMKS bukan Bumiputera terima RM24.8 bilion. Sila sahkan data ini.

11.3. Subsidi upah RM20 bilion untuk PMKS Bumiputera RM7.6 bilion (38%) dan bukan Bumiputera RM12.4 bilion (62%). Sila sahkan data ini.

12. Bantuan kewangan sebenarnya banyak membantu peniaga semasa pandemik ini. Maka sebab itulah mereka mengharapkan kepada kemudahan pengeluaran KWSP. Kita memahami dengan laporan bahawa hampir 50% pencarum hanya mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 di dalam KWSP tetapi kita juga harus memikirkan baki 50% lagi yang mempunyai simpanan lebih daripada itu. Maka dicadangkan kerajaan menimbang semula permohonan ini dan pada masa yang sama lanjutkanlah lagi tempoh moratorium supaya dapat membantu rakyat yang terjejas.

13. Nampaknya tiada perubahan bantuan kepada pekebun kecil getah, kecuali pembentukan gabungan koperasi. Pekebun kecil getah perlu dipertimbangkan harga lantai RM3.00 – RM3.50 kerana mereka menyumbang kepada pengeluaran sarung tangan getah yang mendapat keuntungan dan pada masa yang sama syarikat pengeluar menikmati insentif subsidi dari kerajaan. Menguruskan kebun getah melibatkan baja dan racun. Yang mana kedua bahan ini telah naik harga hingga 100% sejak akhir-akhir ini. Diminta KPDNHEP dan MAFI mengawal dan memantau harga input pertanian.

14. Dalam pada itu kerajaan harus mempunyai idea atau model baru untuk menggalakkan pekebun kecil mengusahakan tanah terbiar. Melalui statistik Jabatan Pertanian terdapat 120,000 hektar tanah terbiar yang melibatkan Tanah Rezab Melayu, Tanah Adat, Tanah Pegangan Melayu dan Tanah Wakaf. Tanah terbiar ini didapati berpunca dari berbagai faktor seperti faktor undang-undang pemilikan, kepemilikan tanah yang bertindih, kekurangan pekerja untuk mengerjakan tanah pertanian, sikap penduduk yang lebih gemar bekerja di luar sektor pertanian dan usia tua. Melalui usaha ini jika tanah tersebut ditanam sayur atau buah seperti nenas dan tembikai maka ianya boleh mendatangkan hasil pendapatan bagi pekebun kecil.

15. Umum mengetahui sejak akhir-akhir ini perbatasan negara sering dicerobohi terutamnya di Laut China Selatan. Di dalam Belanjawan 2022 Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sejumlah RM16.14 bilion bagi tahun 2022. Memandangkan perairan dan ruang negara yang sering diceroboh ternyata Malaysia memerlukan aset pertahanan yang lebih canggih.

15.1. Berlaku provokasi yang dilakukan oleh negara tertentu kepada kawasan minyak negara di Laut Cina Selatan, maka pembelian aset amat penting untuk mempertahankan kedaulatan negara. Melalui peruntukan yang terhad ini diharapkan kerajaan dapat berbuat sesuatu dengan mengadakan lebih kerjasama ketenteraan dengan negara lain sebagai memelihara kestabilan & keselamatan negara.

16. Dalam usaha menjana dan mengekalkan pekerjaan, para belia harus digalakkan untuk menyertai kepesatan teknologi maklumat dengan menjadi usahawan digital, influencer dan gamers.

16.1. Usahawan digital wajar diberi geran selepas pendaftaran SSM, diberi geran lagi selepas 6 bulan menunjukkan peningkatan di dalam perniagaan.

16.2. Pembabitan belia di dalam keusahawan mesti diberi perhatian. Untuk membolehkan mereka mendapat gaji yang berpatutan dan lebih tinggi daripada sijil pendidikan asas iaitu SPM, dicadangkan para belia yang sudah berkerja lebih 2 tahun dalam bidang-bidang tertentu diberikan persijilan pengiktirafan seperti Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1.

17. Di dalam belanjawan, tax relief banyak diberikan kepada perbelanjaan perubatan, pembelian gajet, pembelian kereta elektrik dan aktiviti pelancongan domestik.

17.1. Jangan terlepas pandang golongan M40 kerana semasa pandemik baru-baru ini mereka terjejas dan secara tidak langsung telah ‘downgrade’ ke dalam B40. Memandangkan golongan ini adalah juga pembayar cukai, dicadangkan supaya golongan M40 diberikan potongan cukai yang istimewa dan lebih tinggi atau ‘rebate’ ke atas sumbangan ekonomi mereka seperti pembelian laptop atau percutian di dalam negara. Ini penting supaya mereka tidak berasa dipinggirkan di dalam Bajet 2022.

18. Kesimpulannya belanjawan kali ini banyak menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat. Namun pengurusan Belanjawan 2022 ini yang cekap dan cepat dapat dilaksanakan supaya pembangunan ekonomi negara dan ekonomi rakyat dapat pulih dengan segera.


YB DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
AHLI PARLIMEN PONTIAN
Ucapan Ketika Sesi pembahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.