Perlu Fahami Tuntutan Gologan M40, T20: i-Citra ‘One-off’ RM10 Ribu Dan Moratorium Tanpa Faedah Terakru

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima keluhan rakyat setiap hari tidak kurang 100 ke 200 mesej yang mengadu kesusahan golongan M40 dan T20 melalui saluran Facebook dan talian hotline Pemuda UMNO.

Ujar Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mereka hanya mengharapkan suara mereka didengari dan pihaknya lebih lantang menyuarakan kesempitan yang dialami rakyat.

Justeru kata Dr Asyraf, kerajaan perlu faham kenapa rata-rata golongan M40 dan T20 yang bersungguh-sungguh menuntut i-Citra ‘one-off’ sekurang-kurangnya RM10,000 dan moratorium tanpa faedah terakru, sepertimana berikut:

1. Bantuan untuk golongan ini tak memadai kerana Bantuan Khas COVID-19 (BKC) untuk M40 hanya RM250.

2. M40 ini adalah pendapatan isi rumah (campur gaji suami dan isteri) RM4,851-RM10,970 – ramai salah satu pasangan yang hilang kerja, cuti tanpa gaji, separuh gaji dan lain-lain hingga mereka jatuh ke B40.

3. Begitu juga T20 iaitu pendapatan isi rumah RM10,970 ke atas yang tidak dapat apa-apa bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi mereka ini kebanyakannya yang merana akibat dibuang kerja, dicutikan tanpa gai, separuh gaji bahkan hilang punca pendapatan.

4. Sepanjang Januari hingga Jun mereka hanya bergantung kepada simpanan berbaki dan ramai dah licin simpanan mereka.

5. Komitmen bulanan mereka sebelum ini waktu gaji mereka campur suami isteri masih mampu dilangsaikan termasuk sewa/ansuran rumah, ansuran kereta (biasanya minimum dua kereta seisi rumah), hutang pinjaman peribadi, credit card dan bil-bil utiliti lain.

6. Akibat hilang kerja, punca pendapatan berkurangan dan hanya bergantung kepada pasangan, menyebabkan segala komitmen tertunggak.

7. Rata-rata T20 dan M40 punya simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akaun 1 yang purata lebih daripada RM200 ribu terutama yang sudah bekerja lebih 10 tahun. Sebab itulah bila keadaan terdesak sekarang, mereka amat memerlukan pengeluaran one off minima RM10 ribu bukannya hanya RM1,000 i-citra setiap bulan sepertimana sekarang yang tidak akan selesaikan masalah komitmen tertunggak ketika ini.

8. Begitu juga dengan Moratorium antara 3-6 bulan. Sekurang-kurangnya bolehlah dikurangkan tekanan ke atas komitmen bulanan dan ada lebihan tunai untuk keperluan harian yang lebih mendesak.

9. Ramai hakikatnya dah mula kena catu makanan walaupun sebelum ini bergaji besar.

10. Ini semua menyumbang juga kepada ‘mental illness’ atau menjejaskan kesihatan mental rakyat yang amat tertekan dengan pelbagai komitmen tertunggak yang tidak dapat dilangsaikan.

Tambah Dr Asyraf, inilah antara realiti rakyat yang tertekan sekarang.

“Bukan saja-saja buat cerita ataupun dituduh Pemuda UMNO nak menghasut atau sengaja nak mainkan sentimen marah rakyat,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.