Kerajaan Akur Desakan Presiden UMNO Agar Proklamasi Darurat Tidak Disambung Selepas 1 Ogos 2021

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan yang sejak awal lagi dan secara berterusan telah menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong dan membawa suara rakyat agar darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 ini.

“Saya yakin hasil daripada desakan berterusan daripada parti UMNO seperti ini telah membuahkan hasil sehingga Kerajaan Persekutuan akur kepada desakan-desakan tersebut,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi di Dewan Rakyat, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengumumkan Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baru apabila tamat pada 1 Ogos 2021 dan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat ini adalah dibatalkan.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) melalui kenyataan medianya telah menggariskan ketetapan UMNO mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang perlu dibatalkan dan tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.