Sidang Khas Parlimen: Ketetapan UMNO Mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, bersempena Sidang Parlimen Khas yang akan bermula pada 26 Julai sehingga 2 Ogos 2021, UMNO telah membuat membuat ketetapan untuk ahli-ahli Parlimennya.

Katanya, ahli-ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan pendirian parti untuk mengusulkan agar Parlimen mesti membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.

“Ahli-ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk melalui satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya, ketetapan ini berpandukan kepada beberapa asas-asas berikut:

1. Penolakan rakyat yang UMNO wakili terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat termasuklah kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat ‘dwi-standard’.

2. Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani Pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berParlimen.

3. Memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya samaada diluluskan atau dibatalkan.

4. Memahami implikasi Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat akan terus berjalan selama 6 bulan sekiranya tidak dibatalkan sebagaimana peruntukan 150(3), sekaligus bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan yang terbaru 7 Julai 2021.

5. Mendokong dan mentaati Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan tiada keperluan untuk Darurat diteruskan dan segala Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

6. Memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, maka “Ahli-Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi GLC daripada UMNO akan meletakkan jawatan”. – UMNO Online

GDE Error: Error retrieving file - if necessary turn off error checking (404:Not Found)