‘Pinkwave’ Puteri UMNO Sabah… Terus Bersama Rakyat Depani Kesulitan

TAWAU, 25 Julai – Pandemik COVID-19 yang masih menular memberi kesan langsung kepada rakyat dan Sabah adalah antara negeri yang turut terjejas ekoran penularan wabak ini sejak dari awal tahun lalu.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Tawau, Julisah Mohamad Isah memaklumkan bahawa Puteri UMNO sentiasa cakna terhadap nasib rakyat dengan memainkan peranan sebagai pembela dan terus bersama mereka.

Ujarnya, Puteri UMNO sentiasa peka dengan kesulitan masyarakat setempat dan berusaha bersama-sama mereka mengharungi cabaran.

“Sepanjang pandemik COVID-19, Puteri UMNO Bahagian Tawau menyertai gerakan turun padang bagi menyantuni masyarakat yang terjejas yang bukan hanya menghulurkan sumbangan tetapi turut memberikan sokongan moral kepada mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau memaklumkan bahawa Puteri UMNO sendiri aktif melalui Program ‘Pinkwave’ sebagai platform yang diaplikasi untuk menyusur akar dalam kelompok yang kecil kerana sedar bahawa SOP masih perlu dipatuhi.

“Alhamdulillah, baru-baru ini pun Pergerakan Puteri UMNO Tawau telah menjayakan Program Program ‘Pinkwave’ di Bahagian Tawau.

“Program ini dibuat sempena Hari Raya Aidiladha yang lalu dengan menyalurkan sedikit bantuan barangan basah kepada penerima yang ada diantaranya sudah lebih sebulan berkurung dalam kawasan PKPD.

“Semoga sedikit sumbangan ini mampu memberikan keceriaan sempena kepada penerima dan insyaAllah kami akan sentiasa bersama rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.