Parlimen Bukan Sekadar Sesi Penerangan, Bahas Usul Sama Ada Lulus Atau Tidak!

1. Parlimen yang akan bermula esok sehingga 2 Ogos mesti membenarkan Ahli-Ahli Parlimen untuk membahaskan dan menentukan kelulusan sekurang-kurangnya dua usul besar iaitu Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya dan Pelan Pemulihan Negara beserta Pakej-Pakej Bantuan Rakyat.

A. Kenapa Ordinan Darurat Wajar Dibahas dan Ditolak?
Darurat bukan sahaja gagal dan lebih memudaratkan bahkan rakyat diperlaku zalim dengan kompaun melampau hingga RM10,000 dan bersifat pilih kasih (double standard).

B. Kenapa Pelan Pemulihan Negara dan Pakej Bantuan Rakyat Wajar Dibahas?
Wajib bahas dan suarakan dengan tegas berkenaan #TuntutanRAKYAT mengenai penambah-baikan Pakej Bantuan Rakyat termasuk i-Citra RM10,000 one-off, Moratorium tanpa faedah terakru, Moratorium LPPSA, tambahan nilai BPN/BKC, isu birokrasi dalam proses permohonan dan rayuan, bantuan khas peniaga kecil yang gulung tikar dan lain-lain.

2. Selain DUA rasional di atas, sudah tentu ada sebab apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah berkali-kali agar Parlimen bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Secara tersiratnya Tuanku Agong dan Raja-Raja Pemerintah juga amat memahami suara keresahan rakyat yang dibangkitkan selama ini.

3. Malah pakar-pakar Perundangan dan Perlembagaan juga telah menegaskan keperluan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat diperbahaskan dan ditentukan kelulusan dan pembatalannya oleh Ahli-Ahli Parlimen sejajar dengan kehendak Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutan, sebagaimana berikut:

Perkara 150 (3) “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).”

4. Justeru Kerajaan melalui Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen mesti membenarkan Usul Proklamasi dan Ordinan-Ordinan Darurat diperbahaskan dan dilakukan pengundian oleh Ahli-Ahli Parlimen bagi memenuhi HAK BERPERLEMBAGAAN (Constitutional Right) yang juga membawa suara rakyat secara rasmi di dalam Parlimen.

5. Kegagalan melakukannya bukan sahaja boleh dianggap menderhakai Titah Yang di-Pertuan Agong, malah lebih berat lagi melanggar sumpah setia jawatan Ahli Parlimen untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan Persekutuan!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.