Situasi COVID-19 Negara Semakin Membimbangkan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesedihan beliau melihat situasi negara sudah sampai ke tahap yang begitu membimbangkan angkara pandemik COVID-19.

Jelasnya sehinggakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terpaksa memaklumkan kepada rakyat bahawa tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan masih mencukupi.

“Masih cukup untuk menampung pengebumian yang meninggal dunia akibat pandemik. Pada masa yang sama sedang menilai tahap kesiapsiagaan kecukupan tanah kubur.

“Malah mahu mengenal pasti pula kaedah pengurusan pengebumian yang lebih cekap. Termasuk kemungkinan melaksanakan pembinaan kubur bertingkat supaya cukup. Inilah realitinya. Hampir 8,000 penduduk Malaysia telah terkorban disebabkan COVID-19.

“Kes jangkitan yang kini sudah lima angka dijangka cecah 24,000 kes sehari pada September. Adakah kita akan sekadar meredhai kematian ini sedangkan kita masih ada upaya menanganinya?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menambah, sekiranya kerajaan mendengar cadangan daripada kepimpinan UMNO semestinya wabak ini dapat ditangani sebaik mungkin.

“Benar ajal dan maut d itangan Tuhan, tetapi menjaga nyawa sebahagian Maqasid Syariah. Saya percaya jika segala cadangan kita sebelum ini dilaksanakan jumlah kematian tidak seburuk itu.

“Kita perlu terus melawan pandemik ini supaya tidak lebih banyak nyawa yang terkorban. Lebih banyak kubur dan kontena mayat dapat disediakan jangan dianggap sebagai pencapaian.

“Kita masih ingat dibawah pentadbiran kerajaan UMNO/BN setiap nyawa insan adalah berharga,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.