Perak Mahu Baki Bekalan Vaksin Diberi Sebelum Akhir Julai Untuk Beralih Ke Fasa Tiga PPN

IPOH, 23 Julai – Perak berharap dapat menerima baki bekalan vaksin yang ditetapkan sebelum akhir bulan ini untuk memastikan kadar vaksinasi penduduk di negeri itu mencecah 40 peratus, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

Saarani berkata setakat ini Perak telah menerima 452,610 daripada 688,760 dos yang ditetapkan dan sehingga 21 Julai lepas, seramai 600,627 atau 32 peratus penduduk negeri itu telah menerima dos pertama, manakala 311,793 atau 10.8 peratus telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin.

Katanya bekalan vaksin yang cukup, penting bagi memastikan Perak yang kini berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), beralih ke Fasa Tiga, setelah syarat ketiga nilai ambang iaitu kadar vaksinasi penduduk mencecah 40 peratus dicapai.

“Kes (jangkitan COVID-19) sudah rendah, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi pun mencukupi, tapi kita belum mencapai 40 peratus kerana vaksin yang sampai belum mencukupi.

“Kita harap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dapat membekalkan vaksin mencukupi kerana usaha, persiapan telah kami (kerajaan negeri) buat, termasuk di kampung, pada tahap maksimum untuk memberi vaksin kepada seramai yang boleh rakyat Perak,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Selain itu, Saarani berkata kerajaan negeri akan membuka sebuah lagi PPV Industri iaitu di Dewan St. Louis Taiping, Rabu depan menerusi PIKAS, yang menyasarkan kepada tenaga kerja dalam sektor-sektor pembuatan kritikal.

Katanya program PIKAS di Perak menyasarkan sebanyak 20,340 pekerja yang akan mendapatkan suntikan vaksin dan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa.

Selain PPV Pusat Konvensyen Casuarina, dua lagi PPV industri yang telah beroperasi di Perak adalah PPV Kompleks Sukan Proton dan PPV Sapura Fabrication Sdn. Bhd. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.