Jangan Politikkan Angka Peruntukan Kerajaan – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menyifatkan desakan Lim Guan Eng supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha mengitar semula dakwaan yang telah dijelaskan.

Beliau berkata, penjelasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebelum ini telah memperincikan bahawa perbandingan yang dibuat Guan Eng berhubung perbelanjaan dan peruntukan tidak mengambil kira pindaan serta penyelarasan peruntukan melalui proses kewangan kerajaan.

“Berdasarkan peruntukan selepas penyelarasan, perbelanjaan bagi tempoh 2023 hingga 2025 tidak melebihi jumlah yang diluluskan.

“Guan Eng pernah menjadi Menteri Kewangan dan tentunya memahami perbezaan antara peruntukan asal, peruntukan dipinda serta perbelanjaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hasmuni, isu berkaitan peruntukan tidak seharusnya dipersembahkan secara separuh-separuh sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku ketidakpatuhan kewangan.

Beliau berkata, Ahmad Zahid ketika ini memberi tumpuan memastikan projek pembangunan luar bandar diteruskan, selain memastikan kontraktor menerima bayaran bagi kerja yang telah dilaksanakan.

“Jangan hukum usaha membela rakyat hanya dengan permainan angka dan persepsi.

“Jika benar mahu bercakap tentang akauntabiliti, Guan Eng juga perlu menjawab segala persoalan yang terpalit dengan dirinya dan bukan hanya lantang apabila sasarannya pemimpin UMNO,” katanya.

Hasmuni turut mengingatkan supaya institusi penguatkuasaan tidak dijadikan alat dalam pertikaian politik, sebaliknya sebarang dakwaan hendaklah dikemukakan berdasarkan fakta dan bukti.

“Jangan jadikan SPRM senjata politik. Berhujahlah dengan fakta, bukan persepsi,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO