Masih Ada Yang Mencatu Makanan… Usah Diperlekeh Rakyat Kibar Bendera Putih – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Masih ramai lagi rakyat yang mencatu makanan bahkan ada yang terputus bekalan akibat hilang punca pendapatan, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, usah diperlekehkan tindakan segelintir pihak yang terkesan dan bertindak mengibarkan bendera putih di hadapan rumah mereka.

“Yang penting semua harus cakna masyarakat sekeliling, saling membantu dan bertanya khabar jiran tetangga dan masyarakat sekeliling.

“Kami Pemuda UMNO sedaya mungkin akan pantau dan pastikan golongan yang memerlukan ini dibela, dibantu dan bukan diperlekehkan!

“Pelbagai inisiatif dan program bantu rakyat yang dilakukan oleh Pemuda UMNO seluruh Malaysia dengan bantuan masyarakat setempat, diharapkan dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan terkesan akibat wabak COVID-19 ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Asyraf juga memaklumkan pihaknya mengalu-alukan sebarang sumbangan orang ramai untuk membantu kerja-kerja amal kebajikan Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia.

“Alhamdulillah, melalui sumbangan orang ramai dan individu, wakil di 191 bahagian seluruh negara dapat terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di kawasan masing-masing.

“Sumbangan anda boleh disalurkan ke akaun Pemuda UMNO Malaysia CIMB Bank Berhad 8000632311.

“Semoga bantuan anda akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang dilanda musibah ketika ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.