i-Citra ‘Lump Sum’ RM5,000 Lebih Membantu Terutama Kepada Peniaga Terjejas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran apabila dimaklumkan keputusan permohonan skim i-Citra telah boleh diakses bermula semalam.

Namun, beliau mengatakan bahawa jumlah yang dibenarkan hanya RM1,000 sebulan untuk tempoh 5 bulan kurang membantu rakyat yang tersepit untuk keluar daripada kesulitan.

“Berbanding lump sum RM5,000 boleh dipelbagaikan sebagai modal berniaga dan sebagainya atau boleh juga digunakan untuk membayar hutang tertunggak dan seumpamanya.

“Saya mohon maaf kerana desakan kami tentang yang itu tidak dilayan kerajaan. Apa pun kita telah berusaha dan berjaya menuntut pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0.

“Selepas terpaksa berdepan dengan pelbagai alasan yang annoying dan menyakitkan hati. Antaranya KWSP bukan bank untuk pencarum boleh keluarkan wang pada bila-bila masa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi sebelum ini pelbagai dakwaan yang dikeluarkan pihak tertentu termasuk kononnya ramai pencarum tidak sokong pengeluaran sebab tidak mahu kedudukan KWSP terjejas.

“Tetapi selepas kebenaran diberi mereka kata pengeluaran KWSP beri kesan positif dan membantu aliran tunai. Tidak mengapa hal pelik itu.

“Namun kita masih menaruh harapan jumlah pengeluaran dipertingkat. Ini selari dengan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pengeluaran wang KWSP pada tahun lalu

“Tengku Zafrul sebelum ini berkata kita buat sesuatu diluar norma (tahun lalu) kerana pandemik ini sesuatu yang luar biasa. Ekonomi malaysia merundum teruk tahun lepas,” ujar beliau.

Soal Ahmad Zahid lagi bukankah keadaan pandemik pada tahun ini jauh lebih luar biasa seperti kewujudan varian baharu malah kes harian juga sudah mencecah lima angka namun ekonomi rakyat masih di tahap yang membimbangkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.