71.9 Peratus Populasi Dewasa Di Lembah Klang Telah Terima Satu Dos Vaksin – Khairy

PUTRAJAYA, 23 Julai – Sejumlah 71.9 peratus daripada populasi berumur 18 tahun ke atas di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, ia selari dengan Operasi Lonjakan Kapasiti, yang menyasarkan suntikan sebanyak 211,000 hingga 275,000 dos setiap hari, kepada penduduk Lembah Klang sejak 21 Julai hingga 1 Ogos ini.

“Menerusi kadar suntikan ini, sasaran secara keseluruhan adalah untuk memberi sekurang-kurangnya satu dos kepada semua penduduk dewasa di Lembah Klang, sebelum atau pada 1 Ogos ini,” katanya pada sidang media harian PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.

Khairy menjelaskan bagi tempoh 21 dan 22 Julai, sebanyak 432,843 suntikan dos telah diberikan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di mana 263,100 daripadanya adalah suntikan dos pertama.

Sementara itu, Khairy berkata senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang dibuka untuk vaksinasi secara walk-in kepada dewasa 18 tahun ke atas yang belum terima janji temu, akan diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi itu turut berkata, sejumlah 10.9 juta dos pertama telah diberikan di seluruh negara, manakala 5.1 juta telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan dengan bekalan vaksin yang akan datang, momentum pemberian vaksin dapat dikekalkan bagi mencapai nilai ambang, seperti yang diumumkan dalam Pelan Pemulihan Negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.