Ramai Menanti Pakej Kerajaan… Kecewa Tapi Pemuda UMNO Tak Mengalah – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pemuda UMNO telah melakukan sedaya upaya termasuk menerangkan sendiri senario kepayahan dan kesengsaraan rakyat kepada Menteri malah kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau turut mengikuti perkembangan hampir setiap hari dengan Menteri.

“Saya pastikan sebelum mesyuarat kabinet setiap minggu hari Rabu, mesej tuntutan rakyat ini harus juga dibangkitkan oleh Menteri-menteri lain termasuk Menteri Kewangan.

“Saya minta maaf kerana masih tidak berupaya merubah pendirian Kerajaan mengenai 10 tuntutan rakyat ini.

“Namun kami berjanji untuk terus berusaha termasuk melobi Ahli-ahli Parlimen untuk terus menekan Kerajaan agar mendengar denyut nadi rakyat dengan membawa suara mereka di Parlimen pula pada minggu hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya, beliau percaya ramai yang menantikan dengan penuh harapan menggunung sekiranya ada pengumuman tambah baik Pakej Bantuan PEMULIH sebagaimana yang terkandung dalam 10 tuntutan rakyat.

Malangnya, tiada satupun berita gembira melainkan pengulangan inisiatif yang telah pun dibentangkan oleh PM pada 28 Jun lalu, katanya lagi.

“Malah dengan bangga mendakwa keprihatinan kerajaan terhadap golongan M40 yang terkesan dengan bantuan khas COVID (BKC) RM250 pada bulan Ogos nanti,” ujarnya.

Berikut adalah tuntutan yang diminta oleh Pemuda UMNO:
-Yang rakyat minta, i-Citra sekurang-kurangnya RM10,000 secara lump-sum (sekaligus).
-Yang rakyat minta moratorium tanpa faedah terakru.
-Yang rakyat minta diperluaskan moratorium kepada agensi Kerajaan seperti LPPSA
-Yang rakyat minta ditambah nilai bantuan BPR dan BKC terutamanya untuk golongan M40
-Yang rakyat minta dipercepatkan bantuan kerana dah hampir enam bulan di bawah darurat dan lebih 50 hari terkurung tanpa kerja.
-Yang rakyat minta dipermudahkan tanpa perlu melalui karenah birokrasi untuk merayu bantuan
-Yang rakyat minta untuk tambahan bantuan kecemasan segera kepada peniaga-peniaga kecil yang terkesan teruk dan gulung tikar akibat PKP yang tiada berkesudahan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.