PEMENANG Gesa Kerajaan Bincang Dengan NGO Islam Mengenai Isu TH

PULAU PINANG, 22 Julai – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) hari ini menggesa Kementerian Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama menganjurkan perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO-NGO) yang berteraskan Islam dan Melayu mengenai cadangan meletakan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

Presiden PEMENANG Tan Sri Mohd Yussuf Latiff berkata, menerusi perbincangan dengan NGO Islam dan Melayu, kerajaan boleh mendapat cadangan dan buah fikiran yang lebih konstruktif dalam usaha mempertingkatkan tadbir urus TH.

Katanya, tindakan Kementerian Kewangan meletakan TH dibawah kawal selia BNM yang diumumkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini adalah sesuatu yang terburu-buru kerana dilakukan tanpa perbincangan dengan wakil-wakil pemegang taruh dan ia telah mengelirukan umat Islam.

“Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya baru-baru ini dipetik sebagai berkata Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menyenaraikan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

“Pengumuman oleh Menteri Kewangan tersebut mungkin mempunyai agenda yang tertentu yang kini sangat di bimbangkan dan disangsi oleh NGO-NGO Islam dan Melayu dan masyarakat Melayu umumnya,” katanya.

Yussuf berkata, TH bukannya sebuah institusi kewangan seperti mana-mana institusi kewangan lain di negara ini kerana matlamat utama TH ditubuhkan pada November 1962 seperti yang dinyatakan dalam Akta Tabung Haji dan TH diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah jelas iaitu ia adalah sebuah agensi Islam yang diberi amanah dan tanggungjawab menyimpan wang bakal jemaah haji dan menguruskan jemaah haji ke tanah suci Mekah.

“Tindakan oleh Kementerian Kewangan meletakkan TH dibawah kawal selia Bank Negara adalah dikesali dan mengambarkan seolah-olah kerajaan sendiri tidak begitu faham matlamat utama TH itu dan meletakannya setaraf dengan syarikat kewangan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan harus sedar risiko keputusan yang dibuat itu kerana BNM adalah sebuah agensi dibawah Kementerian Kewangan dan apa akan berlaku kepada TH jika Menteri Kewangan dilantik dari kalangan bukan umat Islam yang tidak memahami maqasid kewujudan TH.

“Deposit umat Islam yang berjumlah ratusan bilion ringgit itu dilaburkan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi menjana keuntungan dan menyalurkan sedikit keuntungan sebagai subsidi kepada pendeposit yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama.”

Katanya, isu TH yang timbul sebelum ini ialah terdapat kecurigaan dalam pengurusan dan pelaburan yang dilaporkan mengalami kerugian disamping dakwaan terdapat aset dijual kepada syarikat bukan Islam.

Dalam hal yang sama, beliau memaklumkan PEMENANG menyambut baik pengumuman kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan-dakwaan terbabit dan mendapati tidak keperluan untuk meletakan TH dibawah kawal selia BNM.

“Apa yang dikesalkan bahawa pengumuman Menteri Kewangan untuk meletakan TH dibawah kawal selia BNM sebelum RCI yang diumumkan oleh Y.A.B Timbalan Perdana Menteri menjalankan tugasnya adalah sangat tidak wajar dibuat oleh Menteri Kewangan tersebut.”

Yussuf berkata, sebagai usaha mengawal selia sebuah agensi kepentingan umat Islam, kerajaan seharusnya mengamalkan konsep Wilayatul Hisbah dan Wilayatul Mazalim iaitu sistem pemantauan terhadap pemantau.

“Wilayatul Hisbah berfungsi bagi mengawasi perjalanan pengurusan sementara Wilayatul Mazalim pula adalah sistem yang mengawal kuasa dan mengadili pemerintah.

“Sementara menunggu laporan RCI kerajaan perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai Ahli-Ahli Parlimen Muslim bagi memantau keputusan yang dibuat oleh Menteri Agama dalam isu TH adalah telus dan amanah,” katanya.

Katanya lagi, jawatankuasa itu juga boleh dianggotai oleh wakil dari BNM supaya mendapat pandangan secara langsung dari sebuah institusi bebas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.