Tabung Haji… Tangguh Dahulu Hasrat Letak Di Bawah BNM Sehingga RCI Selesai – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar kerajaan menangguhkan dahulu hasrat bagi meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia.
Katanya, keputusan tersebut perlu ditangguh sehingga Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) selesai menjalankan siasatan.
“Tangguh dulu keputusan meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia sehingga Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) selesai jalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan penedek menerusi laman facebooknya, hari ini.
Dilaporkan, Kementerian Kewangan sebelum ini menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.
Terdahulu, pada 14 Julai, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Pemuda UMNO kekal tegas mendesak agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan RCI bagi menyiasat sebarang salah laku dan penyelewengan dalam urusniaga TH yang dibuat sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH) namun sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan.
Antaranya ialah isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations dengan harga di bawah nilai pasaran selain aset-aset hartanah TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd di samping aset-aset termasuk tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH. – UMNO Online