JKJAV Digesa Segera Hantar Bekalan Ke Sabah Bagi Kelancaran Vaksinasi


KOTA KINABALU, 21 Julai – Kerajaan pusat khususnya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) diminta supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin  berkata, berdasarkan data JKJAV, penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua di negeri ini amat rendah berbanding negeri-negeri lain dan perkara ini amat membimbangkan dengan peningkatan kes positif COVID-19 di Sabah sejak beberapa minggu lalu.

Jelas beliau, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kerajaan negeri seperti pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) serta Program Outreach Vaksinasi COVID-19 sudah tentu sukar untuk mencapai sasaran vaksinasi sekiranya bekalan vaksin tidak mencukupi.

Justeru beliau mahu kerajaan pusat serta pihak terlibat terutama JKJAV agar bertindak segera dengan menghantar bekalan vaksin ke Sabah bagi mengurangkan jurang di antara negeri-negeri lain dalam soal pemberian vaksin.

“Selaku wakil rakyat yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat Sabah, saya meminta kerajaan pusat supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan kita (kerajaan negeri) dapat memberikan suntikan imunisasi kepada lebih banyak rakyat di negeri ini. Soal berkaitan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah perlu diutamakan.

“Perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana kita berdepan dengan ancaman virus COVID-19 yang lebih berbahaya ekoran penemuan varian baharu yang lebih mudah menular. Justeru kita perlu segera membentuk imuniti berkelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bilik mesyuarat di Bangunan Kementerian Kerja Raya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung yang juga Menteri Kerja Raya turut menyarankan kepada pihak terlibat supaya melaksanakan inisiatif lain bagi menggalakkan lagi pendaftaran vaksin memandangkan kaedah melalui MySejahtera tidak cukup berkesan.

Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, pendekatan ‘walk-in’ wajar dipertimbangkan kepada rakyat Sabah yang belum lagi menerima temujanji khususnya di kawasan luar bandar memandangkan sebahagian mereka tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menjelaskan, selain melalui MySejahtera, pendaftaran secara ‘walk-in’ dan pandu lalu juga perlu dibuka kepada orang ramai bagi memastikan Sabah dapat mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam tempoh yang disasarkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.