BKUM Tangguh Misi Ke Gaza, Bakal Pulang Bantu Rakyat Berdepan COVID-19 – Abdul Azeez

KAHERAH, 21 Julai – Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) merangkap Pengerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan bahawa misi Bantuan Kemanusian ke Gaza ditangguhkan buat sementara waktu.

Jelasnya, penangguhan misi ini dibuat adalah atas faktor keselamatan yang masih tidak menentu di Gaza dan bukannya ditolak atau dihentikan.

“Kami tangguhkan dahulu misi bantuan kemanusian ke Gaza untuk seketika dan kami akan kembali ke Malaysia bagi membantu rakyat Malaysia yang kini berdepan dengan COVID-19.

“Selepas ini BKUM akan membantu rakyat Malaysia yang berdepan kesulitan termasuk dalam pengagihan makanan.

“Insya-Allah selepas ini apabila kita dapat nota diplomat dari Kedutaan Malaysia di Mesir untuk memasuki Gaza maka kita akan kembali,” katanya kepada UMNO Online hari ini.

Ujarnya, HM4P menangguhkan misi memasuki Gaza untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada masyarakat Palestin di sana berikutan keadaan keselamatan.

“Kita masih berpegang kepada misi HM4P yang 35 peratus masih tertangguh. Kelulusan yang diberikan setakat ini sampai ke Rafah, bukan kita ditolak, bukan ditidakkan atau dibatalkan… tidak… 17 orang anggota misi ini
ditangguhkan untuk memasuki Gaza dan apabila keadaan keselamatan di sana reda, maka apabila kita memperoleh nota diplomat yang baharu, insya-Allah kita akan masuk ke sana.”

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Baling bersama anggota misi merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya Presiden UMNO dan Kerajaan Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutama sekali kepada Presiden UMNO Malaysia, Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk membawa misi ini. Ini juga akan kita laporkan kepada kerajaan Malaysia yang telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada HM4P.

“Begitu juga kepada kerajaan Mesir yang telah memberi kerjasama dengan begitu baik, iaitu anggota HM4P diberikan layanan istimewa untuk pastikan keselamatan kita terjamin.

“Kami juga ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan ahli-ahli UMNO dan berharap terus mendoakan misi kami berjaya sepenuhnya,” katanya lagi.

Terdahulu, Abdul Azeez memaklumkan bahawa 65 peratus HM4P telah berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan yang antaranya menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan masjid terbabit akibat musnah selepas diserang Israel.

Di samping itu anggota misi terbabit telah melaksanakan pengagihan sumbangan makanan untuk tempoh sehingga sebulan kepada masyarakat Palestin yang menghuni kem-kem pelarian di Jordan dengan mengandungi 25 barangan keperluan, termasuk beras, minyak masak, gula, kekacang, tepung dan susu tepung.

Antara tujuan misi HM4P ialah menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membantu membangunkan kawasan penempatan warga Palestin yang terjejas selepas diserang tentera Israel Mei lalu – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.