Ahmad Zahid Hadiri Gala AMMDM, Perkukuh Semangat Kekeluargaan ASEAN

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, malam tadi.

Kehadiran beliau pada majlis berkenaan melengkapkan rangkaian program rasmi di Jakarta yang menghimpunkan delegasi negara anggota ASEAN serta rakan kerjasama dalam usaha memperkukuh hubungan serantau.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mnereusi hantaran di laman Facebooknya, majlis makan malam gala itu bukan sekadar acara sosial, sebaliknya menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan, membina kepercayaan dan memupuk persefahaman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Dalam pengurusan bencana, hubungan yang kukuh bukan hanya dibina melalui dasar dan mekanisme rasmi, tetapi juga melalui kepercayaan dan persefahaman antara mereka yang perlu bekerjasama apabila sesuatu krisis berlaku,” katanya.

Beliau berkata, suasana lebih santai dan mesra pada majlis itu memberi peluang kepada delegasi ASEAN serta rakan kerjasama untuk berinteraksi selepas melalui pelbagai sesi mesyuarat dan perbincangan sepanjang hari.

Ahmad Zahid turut memaklumkan agenda seterusnya akan diteruskan bersama rakan-rakan dialog ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan serantau dalam menghadapi ancaman bencana.

“Insya-Allah, hari ini agenda diteruskan bersama rakan-rakan dialog ASEAN dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan serantau,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO