TVET Dan JTDC Perkukuh Laluan Kerjaya Belia Johor – Dr Naqib
ISKANDAR PUTERI, 26 Nov – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan latihan, penyediaan peralatan serta kerjasama industri bagi membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada golongan belia.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, perkara tersebut dijelaskan ketika menjawab soalan lisan daripada DUN Bukit Batu, DUN Kempas dan DUN Serom dalam persidangan Dewan Negeri Johor.
Menurut beliau, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi Program PRO-MAHIR yang telah melatih seramai 400 peserta sepanjang 2026 dalam bidang kemahiran yang diperlukan industri.
“Program ini terbuka kepada lepasan SPM dan golongan B40 yang memenuhi syarat,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan Geran Peralatan TVET berjumlah RM2 juta bagi membantu institusi menyediakan kelengkapan latihan yang relevan dengan keperluan industri, termasuk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Mengulas akses TVET di Kulai, beliau berkata Karnival TVET dan Kerjaya Kulai 2025 telah melibatkan lebih 1,000 murid daripada 21 sekolah, manakala GIATMARA Kulai turut menawarkan latihan dalam bidang pendawaian elektrik dan kimpalan.
Katanya, bantuan kewangan, elaun serta kemudahan penginapan turut disediakan menerusi skim dan institusi tertentu, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) berperanan menyelaras kerjasama antara institusi TVET dengan pihak majikan bagi memastikan latihan yang ditawarkan selari dengan keperluan industri, termasuk peluang pekerjaan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Bagaimanapun, jelas beliau, penempatan pekerjaan adalah tertakluk kepada kelayakan, kompetensi dan prestasi latihan peserta serta keperluan majikan.
“Hasrat saya ialah supaya lebih ramai anak Johor dapat memilih latihan yang sesuai dengan minat mereka dan memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan,” katanya.- UMNO Online
